KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan prestasi cemerlangnya pada 2022 dari segi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan, dengan eksport mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tiga tahun lebih awal daripada unjuran, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata di sebalik persekitaran global yang mencabar, komuniti perniagaan Malaysia kekal berdaya tahan susulan permintaan global yang kukuh dan harga komoditi yang tinggi.

"Saya gembira untuk berkongsi bahawa eksport kita turut melebihi unjuran RMK12 untuk 2025, tiga tahun lebih awal daripada sasaran.

"Sementara itu, import melepasi paras RM1 trilion buat kali pertama, mencecah hampir RM1.3 trilion pada 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Mustafa berkata Malaysia mengeksport rangkaian produk bernilai tinggi dan berdaya saing ke lebih 200 pasaran antarabangsa sebagai sebuah negara perdagangan global yang terkemuka.

"Ini mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang yang dipercayai, mengakses pasaran baharu dan pasaran sedang pesat membangun melalui pelbagai perjanjian perdagangan di peringkat serantau dan dua hala.

"Pada 2022, 10 destinasi eksport utama Malaysia menyumbang 87.7 peratus daripada jumlah eksport.

"Memanfaatkan prestasi perdagangan yang cemerlang, Matrade, sebagai agensi promosi perdagangan negara, akan terus menggalakkan lebih ramai usahawan Malaysia menceburi eksport.

"Matrade menjadi tumpuan utama dalam memudahkan pengeksport, kementerian, agensi, dewan dan persatuan Malaysia dengan menghubungkan mereka dengan pembeli asing," katanya.

Mohd Mustafa berkata komitmen agensi untuk meningkatkan eksport negara akan diteruskan di bawah tiga agenda eksport utama, iaitu pendigitalan, kemampanan dan Pelan Tindakan Perdagangan Nasional.

Matrade berkata ia telah merangka beberapa program eksport bernilai tinggi pada 2023 untuk menyokong komuniti pengeksport Malaysia, termasuk industri seperti elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, aeroangkasa, makanan dan minuman, perubatan dan farmaseutikal, bahan binaan, minyak dan gas, serta perkhidmatan seperti teknologi maklumat dan komunikasi dan pembinaan kapal.

-- BERNAMA