GEORGE TOWN: Meskipun kelembapan ekonomi global akibat daripada pandemik, eksport Pulau Pinang meningkat sebanyak 13 peratus kepada RM256 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, tahun lepas, eksport Pulau Pinang melonjak ke paras tertinggi kepada RM310 bilion yang mana 82 peratus daripadanya disumbang oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan profesional, saintik dan instrumen pengawalan termasuk peralatan perubatan. 

"Pulau Pinang merupakan pusat operasi  pembuatan paling penting bagi produk E&E di  Malaysia dan menyumbang kira-kira lima peratus daripada eksport semikonduktor global. 

"Sementara itu, Pulau Pinang juga memperoleh RM14 bilion daripada pelaburan pembuatan dilulus pada 2020," katanya dalam ucapan beliau semasa majlis pengumuman pelaburan di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang hari ini.

Dikenali sebagai Lembah Silikon Timur, beliau berkata ekosistem perindustrian Pulau Pinang yang kukuh serta persekitaran perniagaan yang kondusif dicerminkan menerusi minat berterusan daripada syarikat -- tempatan dan juga asing -- untuk mempelbagaikan operasi mereka ke negeri ini.

"Kerajaan negeri juga menyaksikan peningkatan trend syarikat tempatan yang menggerakkan rantaian nilai dengan penawaran tokokan nilai tinggi dan penerimagunaan teknologi tahap tinggi," katanya.

Chow berkata kerajaan negeri akan terus menerajui pembangunan ekosistem mampan termasuk prasarana fizikal dan digital, kelestarian alam sekitar dan kebolehdiaman di Pulau Pinang.

Sementara itu, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan langsung domestik (DDI) Pulau Pinang meningkat dengan ketara, melonjak 92 peratus tahun ke tahun kepada RM3.6 bilion pada 2020 -- 64 peratus lebih tinggi berbanding purata 10 tahun sebanyak RM2.2 bilion dari 2011 hingga 2020.

Momentum itu berterusan pada separuh pertama 2021 dengan Pulau Pinang mencatatkan DDI sebanyak RM700 juta bersamaan dengan 54 peratus daripada jumlah pelaburan pembuatan negeri yang diluluskan.

-- BERNAMA