KUALA LUMPUR: Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat pada tahun 2020, tetapi kerugian terkumpul yang direkodkan masih tinggi iaitu sejumlah RM1.348 bilion.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini,  perbelanjaan yang meningkat terutama rosot nilai dan belanja faedah penerbitan bon/sukuk turut memberi kesan kepada pencapaian dalam perspektif KPI Kewangan.

Peningkatan perbelanjaan dari tahun ke tahun berbanding penurunan jumlah pendapatan turut menyebabkan EXIM Bank mengalami peningkatan kerugian sebelum cukai dan zakat bagi tahun 2017 hingga 2019, katanya.

Kelemahan juga ditemui berikutan terdapat sebanyak 72.1% sumber dana bon/sukuk dan pinjaman telah digunakan untuk menebus bon/sukuk yang matang disebabkan sumber daripada pendapatan operasi dan kutipan balik pembiayaan yang tidak mencukupi.

‘’Penerbitan bon/sukuk dan pinjaman juga melibatkan kos kewangan yang tinggi dan memberi kesan kepada kedudukan kewangan EXIM Bank yang mencatat kerugian sebelum cukai dan zakat bagi tiga tahun berturut-turut,’’ katanya.

Laporan KAN itu turut menyatakan, pada 2017 dan 2018, EXIM Bank mengalami kerugian sebelum cukai dan zakat berjumlah RM88.08 juta dan RM263.52 juta berbanding sasaran keuntungan berjumlah RM47 juta dan RM11.91 juta masing-masing.

Analisis audit terhadap trend kewangan mendapati EXIM Bank telah mengalami peningkatan kerugian sebelum cukai dan zakat berjumlah RM390.17 juta (443%) bagi 2017 hingga 2019.

Keadaan ini disebabkan oleh penyusutan pendapatan kesan daripada bilangan peminjam dan nilai pembiayaan yang menurun iaitu seramai 26 peminjam (RM1.676 bilion) pada tahun 2019 berbanding 44 peminjam (RM3.913 bilion) pada tahun 2017.

“Punca utama kerugian ini disumbangkan oleh rosot nilai pembiayaan yang menunjukkan kualiti peminjam yang tidak memuaskan.

Selain itu, kelonggaran Polisi Risiko Kredit dalam meluluskan pembiayaan telah mengakibatkan EXIM Bank menanggung pembiayaan tidak berbayar yang tinggi terutamanya melibatkan pinjaman kepada syarikat asing dan cagaran yang tidak dapat direalisasikan.

Polisi Risiko Kredit yang tidak menjelaskan kriteria kelayakan peminjam khususnya daripada aspek kewarganegaraan adalah antara faktor kegagalan untuk mengutip balik pembiayaan tidak berbayar daripada syarikat asing.

Prestasi kutipan bayaran balik pembiayaan sebenar pula tidak dapat dinilai kerana rekod diselenggarakan secara manual menyebabkan pemantauan bayaran balik peminjam tidak dapat dibuat secara menyeluruh, kata laporan tersebut.

Melangkah ke hadapan, bagi meningkatkan lagi pencapaian objektif penubuhan EXIM Bank dan menyeimbangkan pencapaian kewangan, Ketua Audit Negara menyarankan:
LKAN berkata, EXIM Bank harus mempergiatkan usaha tindakan pemulihan akaun pembiayaan yang tidak berbayar supaya mencapai sasaran jumlah pemulihan bagi meningkatkan aliran tunai dalaman.

*Berita asal di DagangNews.com