Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad akan mengadakan kerjasama dengan beberapa syarikat besar untuk memasarkan minyak sawit keluaran mereka ke Asia Barat dan Afrika.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, selain itu, negara China melalui Duta Besarnya, telah memberi komitmen untuk membeli semua minyak sawit sekiranya Kesatuan Eropah (EU) meneruskan rancangan untuk menyekat minyak sawit.

“Pada ketika ini mereka (EU) mengadakan sekatan minyak kelapa sawit untuk pengunaan dio diesel, itu peringkat pertama.

“Jadi kita melihat akan dilaksanakan beberapa peringkat lagi sekiranya kita atau pun kerajaan tidak mengambil langkah drastik atau cepat untuk `counter’ balik dengan masyarakat UE,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Aspirasi Staff Felcra Berhad Wilayah Perak bersama kepimpinan kerajaan negeri di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini, hari ini.

Menurut beliau, apabila berita mengenai cadangan EU itu tersebar, harga komoditi terus jatuh dan kerajaan perlu mengambil langkah drastik untuk menangani masalah tersebut.

Bagaimanapun, Zulkarnain percaya, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa peka dan akan mengambil langkah yang sewajarnya.

Malaysia mengeksport minyak sawit dan produk berasaskannya bernilai RM8.52 bilion ke China bagi tempoh Januari sehingga November tahun lalu, berbanding RM7.76 bilion bagi tempoh sama 2016, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 9.8 peratus.