KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd dan anak syarikatnya, FGV Prodata System Sdn Bhd (Prodata) sedang mendapatkan nasihat guaman untuk mengambil tindakan mencabar writ saman daripada VDSL Technology Sdn Bhd (VDSL) berhubung tuntutan pampasan dan ganti rugi berjumlah RM170.70 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, FGV Holdings menjelaskan FGV Prodata telah menerima writ saman tersebut pada 18 Mei, 2021.

Ia menambah VDSL menuntut pampasan dan ganti rugi berjumlah RM170.70 juta berikutan FGV Prodata dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didakwa melanggar beberapa pengaturan yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak berkenaan berkaitan dengan Projek Inisiatif Jalur Lebar Felda.

FGV Holdings memaklumkan Mahkamah Tinggi telah menetapkan pengurusan kes pertama pada 11 Jun, 2021, menerusi e-Review.

-- BERNAMA