KUALA LUMPUR: Penubuhan koperasi penting untuk mengembangkan potensi dan perniagaan usahawan kecil sekali gus memacu ekonomi negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, koperasi yang ditubuhkan ini boleh berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pelbagai urusan dengan lebih mudah dan berkesan.

Ewon berkata, kementeriannya sangat mengalu-alukan orang ramai berhubung dengan pihaknya untuk tujuan penubuhan koperasi dan padanan insentif bagi memulakannya, seterusnya mengembangkan perniagaan.

"Koperasi ialah satu enjin yang boleh bina ekonomi kita, termasuk koperasi penjaja kecil. Malah di Dewan Rakyat, Menteri Ekonomi cadangkan supaya usahawan yang terlibat sebagai vendor Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) boleh tubuh koperasi.

"Kita akan bantu mudahkan prosedur tubuh koperasi ini. Di bawah Suruhajaya Koperasi Malaysia (SKM) kita ada tabung modal pusingan. Kita ada geran pembangungan yang boleh kita berikan kepada koperasi-koperasi ini untuk mulakan dan teruskan aktiviti perniagaan mereke.

"Kita alu-alukan peniaga kecil tubuh koperasi supaya mudah untuk kita bantu. Malah, sebagai koperasi boleh bincang dengan PBT mengenai hal perlesenan, premis perniagaan dan sebagainya," katanya dalam program Agenda AWANI.

KUSKOP tubuh majlis pembangunan usahawan di setiap daerah, bantu semua aspek perniagaan PMKS - Ewon

Demi merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dan mengembangkan perniagaan peniaga kecil, Ewon menghargai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2023 yang memperuntukkan RM732 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

"Ini melibatkan penambahan RM182 juta berbanding peruntukan kepada kementerian ini pada tahun lepas. Antara program yang kita akan laksanakan termasuk RM330 juta yang disalurkan melalui TEKUN Nasional dan RM10 juta diperuntukkan khas kepada belia daripada keluarga susah agar mereka dapat mulakan perniagaan.

"Kedua, SME Corp diperuntukkan RM88 juta untuk melaksanakan pelbagai program keusahawan yang baru dan yang sedia ada. Ketiga, UDA Holdings RM30 juta untuk laksana program Malaysia Entrepreneur Hub untuk sediakan premis perniagaan kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

"Keempat, Institut Keusahawan Negara (INSKEN), RM10 juta program latihan dan bimbingan keusahawan. Kelima, program pembangunan perniagaan melalui koperasi dibawah SKM melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta," jelasnya.

Untuk tahun ini, Ewon berharap perancangan yang ditetapkan oleh KUSKOP akan dapat melonjakkan lagi sektor PMKS dan koperasi di Malaysia, khususnya berkaitan adaptasi pendigitalan dan memanfaatkan platform dalam talian MyMall yang di kendaliankan kementerian itu.

Agenda AWANI: KUSKOP Perkasa Aspirasi Usahawan