Malaysia merekodkan pertumbuhan kukuh 5.6 peratus bagi suku ketiga 2014 berbanding 6.5 peratus suku kedua tahun 2014.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, pertumbuhan positif itu disokong permintaan domestik terutama sektor swasta dan eksport bersih yang positif.

Bagi suku ketiga, katanya, penggunaan swasta mencatatkan pertumbuhan 6.7 peratus sementara pelaburan swasta tumbuh 6.8 peratus.

Beliau berkata, eksport pula ia tumbuh 2.8 peratus bagi suku ketiga tahun ini sementara import berkembang 2.2 peratus.

"Bagi tahun penuh 2014, Bank Negara Malaysia (BNM) optimis ia akan mencapai pertumbuhan yang disasarkan pada 5.5 peratus hingga 6 peratus.

"Ekonomi Malaysia dijangka kekal merekodkan pertumbuhan mapan disokong permintaan domestik dan eksport yang sederhana," katanya pada sidang media ketika mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga di sini, hari ini.

Lebihan akaun semasa suku tersebut direkodkan pada RM7.6 bilion bersamaan 2.9 peratus pendapatan negara kasar (PNK).

Inflasi bagi suku sama dicatatkan pada 3 peratus berbanding 2.2 peratus suku sama tahun lepas.

Kadar inflasi itu lebih rendah berbanding 3.3 peratus pada suku kedua 2014 dan 3.4 peratus pada suku pertama.

Dr Zeti berkata bergerak ke hadapan, kadar inflasi dijangka meningkat dipacu faktor kos domestik.

Bagi hutang isi rumah pula, Dr Zeti berkata pertumbuhan direkodkan pada kadar stabil 10.4 peratus berbanding 10.3 peratus pada suku kedua.

Bank Negara meramalkan pertumbuhan 5 ke 6 peratus bergantung kepada prestasi eksport. Sekiranya eksport lemah, pertumbuhan diramal hampir kepada 5 peratus; jika eksport mengukuh, pertumbuhan diramal hampir 6 peratus.

Bagaimanapun, penggunaan swasta dijangka menyederhana, namun pelaburan akan terus disokong projek baru dan yang sedang dijalankan oleh sektor swasta dan awam.