KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan yakin kedua-dua sektor awam dan swasta akan memainkan peranan mereka masing-masing dan menyumbang kepada kejayaan usaha kemampanan dan matlamat Malaysia pada masa depan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata suatu yang mengujakan melihat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerima agenda kemampanan dengan memasukkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam strategi teras mereka dan menerapkannya ke dalam operasi dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Konsep ESG dan kemampanan ini benar-benar dilaksanakan. GLC ini mengarusperdanakan ESG dengan bertindak sebagai contoh teladan, memangkinkan perubahan dalam ekosistem mereka masing-masing dan menggalakkan korporat Malaysia yang lain untuk mempertimbang cara mereka bertingkah laku dan bagaimana tindakan mereka memberi kesan kepada masyarakat dan alam sekitar di mana mereka beroperasi.

"Kepada korporat di luar sana, dan sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan perbankan serantau, saya beri jaminan kepada anda bahawa usaha-usaha ini bukan sahaja akan membolehkan syarikat anda menjadi lebih bertanggungjawab, tetapi juga melindungi kepentingan syarikat anda dalam mencipta nilai dengan mengurangkan potensi risiko alam sekitar dan kawal selia," katanya dalam ucapan penutup beliau pada pelancaran acara 'Khazanah Sustainability Framework and Targets: Investing in a Sustainable Transition 2022' di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata bagi 2023 kerajaan mengekalkan komitmennya melaksanakan program dan projek pembangunan yang menumpukan kepada ESG.

Menurutnya, Kementerian Kewangan telah menggariskan beberapa keutamaan penting dalam Kenyataan Pra-Bajet 2023 yang diumumkan baru ini termasuk peralihan strategik Malaysia daripada fasa pemulihan sekarang kepada pembaharuan jangka panjang.

Ini, katanya, termasuk memudahkan peluang pendapatan yang lebih baik dan menambah baik kesejahteraan holistik bagi mencapai wawasan Keluarga Malaysia yang lebih inklusif dan pembangunan mampan.

"Meskipun ini merupakan asas yang meyakinkan, ia tidak boleh dilakukan secara berasingan. Pembaharuan yang mampan dan berkekalan hanya boleh dicapai dengan menyatukan seluruh negara menerusi wawasan kemampanan bersama dengan pembabitan daripada semua pihak termasuk sektor swasta," katanya.

Bagi menyokong aspirasi berasaskan ESG jangka panjang, Tengku Zafrul berkata kerajaan telah merancang strategi dan langkah-langkah lebih meluas termasuk mengukuhkan pembiayaan dan pelaburan berkaitan kemampanan, yang melengkapkan Matlamat Pembangunan Mampan (DSG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menyelaraskan inisiatif dan korporat yang menerapkan elemen ESG.

"Strategi utama kedua Kementerian Kewangan adalah memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang ESG. Memandangkan kepentingan sektor itu kepada ekonomi, membangunkan kapasiti PKS kita adalah satu asas utama untuk mencapai aspirasi ESG kita dan matlamat sifar-bersih karbon kita menjelang 2050.

"Strategi utama ketiga adalah untuk menginstitusikan langkah-langkah ESG. Satu daripada contoh utama adalah penubuhan Dana Amanah Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (MySDG Fund) awal tahun ini secara kerjasama dengan PBB," katanya.

Beliau berkata, dengan sumbangan awal sebanyak RM20 juta, kerjasama pembiayaan utama ini menunjukkan komitmen tinggi untuk menerapkan prinsip SDG ke dalam pelan dan dasar pembangunan nasional Malaysia, di samping telus dalam penggunan dana.

-- BERNAMA