KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah langkah hadapan yang baik, tetapi sistem percukaian itu perlu dilaksanakan dengan cara yang betul, kata Tan Sri Nazir Razak.

Pengerusi Bukan Eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) itu berpandangan, pelaksanaan sistem cukai berkenaan juga dilihat perlu bagi tempoh jangka masa panjang.

"Dari segi keadaan hari ini seperti kenaikan harga barangan, ketidakseimbangan, dan penderitaan akibat pandemik masih dirasai, pandangan saya ialah kita perlu melihat semula bagaimana sistem cukai Malaysia. Kita perlu meningkatkan cukai untuk golongan kaya di Malaysia.

"Kita perlu memperkenalkan 'windfall tax' kerana setakat ini saya bimbang kerajaan terus berbelanja tetapi tidak melakukan begitu banyak dari segi pendapatan," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam majlis "Cabaran Masa Depan" - Diskusi bersama Nazir Razak sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di World Trade Centre (WTC), di sini.

Mengulas lanjut mengenai cadangan pelaksanaan semula GST, bekas Pengerusi Kumpulan CIMB itu berkata, tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan GST disifatkan sebagai satu kesilapan.

Nazir sebaliknya berkata, PH perlu menurunkan kadar GST dan memberikan pengecualian kepada golongan yang berpendapatan rendah.

Beliau menambah, banyak negara sedar jika pendapatan dan cukai tidak meningkat, agak sukar untuk sesebuah kerajaan membelanjakan wang dan membantu golongan memerlukan.

"Jadi Malaysia benar-benar perlu melihat semula sistem cukai ini termasuk GST meningkatkan pembayaran cukai daripada golongan kaya kepada golongan miskin," ujar beliau lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo tidak menolak kemungkinan kerajaan akan mengembalikan sistem GST, sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

GST pertama kali dilaksanakan pada April 2015 dengan kadar enam peratus ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, ia dimansuhkan selepas kerajaan PH mengambil alih negara, dan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).