KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menugaskan hampir 10,000 tenaga kerja pelbagai peringkat di sektor kritikal rantaian perkhidmatannya di seluruh Semenanjung, demi menjamin kestabilan bekalan elektrik ketika rakyat menyambut Syawal minggu depan.

Penugasan secara giliran dan tunggu sedia itu merangkumi stesen-stesen janakuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid dan pencawang bagi memastikan kelancaran penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik di samping siap siaga perkhidmatan pelanggannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, pemantauan di setiap negeri ditingkatkan menjelang Syawal dengan jangkaan orang ramai pulang lebih awal berhari raya di kampung halaman selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian berikutan perintah kawalan pergerakan.

“Terima kasih tidak terhingga kepada warga TNB yang bertugas tanpa syarat pada Aidilfitri ini dalam suasana peralihan endemik. Kita doakan agar mereka sentiasa sihat dan selamat menyempurnakan amanah tugas demi keselesaan semua yang menyambut lebaran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tempoh 72 jam bermula sehari sebelum 1 Syawal adalah kritikal dengan jangkaan penggunaan tenaga elektrik meningkat berikutan orang ramai rancak membuat persiapan akhir terutama pada malam Aidilfitri diikuti pelbagai aktiviti sambutan dua hari berikutnya.

Justeru, TNB mengekalkan tradisinya menghargai anggota kerja yang bertugas pada Syawal dengan menitipkan bingkisan kuih raya yang disediakan dengan kerjasama Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS).

Ahli-ahli PELITAWANIS dari lapan cawangan sekitar Lembah Klang berganding bahu menyiapkan 9,900 pek bingkisan kuih raya minggu lalu.

Pengerusi TNB, Datuk Sri Hasan Arifin hadir bersama isteri, Datin Sri Rozidah Abdul Karim untuk menyempurnakan Sesi Simbolik Penyerahan Bingkisan Raya TNB 2022 kepada ketua-ketua bahagian TNB di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Ibu Pejabat TNB, Bangsar.

“Walaupun sudah menjadi tugas, namun mereka berkorban dengan berada di lapangan ketika orang lain menyambut perayaan bersama keluarga dan di kampung halaman. Bingkisan kuih raya ini menzahirkan penghargaan agar dapat memberi keceriaan dan menyuntik semangat mereka untuk terus bekerja,” kata Hasan.

Menurut Yang Dipertua PELITAWANIS TNB, Datin Noor Aizah Abd Karim, kerja-kerja pembungkusan 9,900 bingkisan kuih raya itu bermula 28 Mac hingga selesai pada 20 April 2022 dan ia akan dihantar ke pejabat TNB di seluruh Semenanjung.

“Bingkisan kuih raya ini tidaklah setimpal pengorbanan warga kerja terlibat, tetapi ini adalah tanda kasih kami sebagai ibu dan isteri kepada pekerja-pekerja TNB yang terpaksa berjauhan daripada keluarga demi memastikan bekalan elektrik kekal selamat dan stabil sepanjang Aidilfitri nanti,” katanya. - DagangNews.com