KUALA LUMPUR: CGS-CIMB Research menyemak unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) pada 2022 lebih tinggi kepada RM5,600 satu tan metrik berbanding RM4,100 satu tan metrik sebelum ini.

Bagi 2023 pula, unjuran harga sawit juga disemak lebih tinggi kepada RM3,800 satu tan metrik daripada RM3,240.

Menurut firma itu, terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada kenaikan harga MSM terutamanya perang Rusia-Ukraine yang masih berterusan telah menyekat bekalan minyak bunga matahari.

Selain itu, katanya, ia juga disebabkan penyelesaian yang lebih perlahan berkenaan masalah kekurangan pekerja asing di Malaysia dan juga sekatan sementara Indonesia terhadap eksport minyak sawit.

"Oleh itu, kami kini menjangkakan harga MSM akan kekal kukuh pada separuh pertama 2022, pada purata RM6,138 satu tan metrik, sebelum kembali melemah sekitar RM5,062 satu tan metrik pada separuh kedua, apabila bekalan minyak sawit kembali pulih," katanya dalam nota kajian hari ini.

Pada masa sama, CGS-CIMB juga akan menyemak semula unjuran pendapatan bagi syarikat perladangan di bawah liputannya untuk mencerminkan peningkatan dalam andaian harga MSM dan kenaikan gaji minimum pada 1 Mei lalu.

Ia percaya syarikat perladangan akan merekodkan margin keuntungan yang lebih rendah pada separuh kedua 2022 disebabkan harga MSM yang lemah dan kenaikan kos operasi sekitar 25 hingga 36% berikutan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan.

"Di samping, kos baja yang lebih tinggi dan Cukai Makmur turut mempengaruhi keuntungan syarikat perladangan melainkan produktivitinya meningkat," jelasnya.

Buat masa ini, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan memandangkan terdapat peningkatan jangka pendek kepada pendapatan manakala penilaian kekal di bawah pada tahap semasa.

Baca : Stok minyak sawit meningkat 17.4% pada April 2022, eksport merosot

Dalam pada itu, CGS-CIMB menganggarkan stok minyak sawit akan menyusut 2.2% bulan ke bulan kepada 1.6 juta tan metrik menjelang akhir Mei 2022 berikutan eksport minyak sawit yang lebih tinggi apabila Indonesia mengharamkan sementara eksport minyak sawit berkuat kuasa 28 April 2022.

"Kami percaya Indonesia boleh menarik balik larangan sementara eksport minyak sawit pada Jun jika harga minyak masak pukal di negara itu turun kepada 14,00o rupiah satu liter," katanya.

Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dikeluarkan semalam menunjukkan stok minyak sawit mentah (MSM) Malaysia meningkat 17.4% kepada 891,779 tan metrik pada April 2022, berbanding 759,732 tan metrik pada Mac berikutan pengeluaran yang lebih tinggi.

Inventori minyak sawit diproses turut bertambah 5.2% bulan ke bulan kepada 750,215 tan metrik daripada 713,112 tan metrik sebelum ini.

Ini menjadikan secara keseluruhan stok minyak sawit meningkat 11.5% kepada 1.64 juta tan metrik daripada 1.47 juta tan metrik pada Mac 2022.

Pada bulan tersebut, eksport minyak sawit merosot 17.7% bulan ke bulan kepada 1.05 juta tan metrik berbanding 1.28 juta tan metrik pada Mac.


Artikel asal di Dagangnews.