KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan supaya mengambil serius dalam melaksanakan semua perkara yang terkandung di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) seperti yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) berkata, ia bagi memastikan segala usaha penjawat awam menyiapkan buku setebal lebih 500 muka surat itu tidak sia-sia.

"Sekiranya kerajaan tidak serius untuk melaksanakan apa yang tertera dalam (dokumen) RMK-12 ini, maka semua muka surat boleh digunakan untuk membalut vadai, nasi lemak atau pau.

"Jadi, jangan sia-siakan usaha penjawat awam yang bersusah-payah, bertungkus-lumus menerbitkan buku RMK-12 yang tebal ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan RMK-12 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Kasthuriraani berkata, kerajaan juga diingatkan agar mengambil maklum semua intipati perbahasan yang disuarakan pihak pembangkang bagi menambah baik pentadbiran kerajaan.

"Maka, saya dengan penuh pengharapan mahukan perbahasan ini bukan sekadar untuk pihak kerajaan agensi sekadar mendengar dan mengambil nota tanpa iltizam politik untuk membawa perubahan yang benar-benar bermakna kepada sistem demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang negara," katanya.