PETALING JAYA: Honda Malaysia hari ini mengumumkan penarikan balik beberapa model melibatkan City, City Hatchback, HR-V dan BR-V sebagai langkah berjaga-jaga.

Model yang terlibat ialah City (2021) dan City Hatchback (2022) sebanyak 1,068 unit, serta HR-V (2020) sebanyak 343 unit dan BR-V (2021) sebanyak 116 unit.

Honda memaklumkan dua faktor menjadi punca penarikan semula model-model berkenaan, iaitu pemeriksaan nut torque pada Penjana Arus Ulang-alik (ACG) dan pemeriksaan bolt earth grounding tightness.

"Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa semua model pengeluaran dan penjualan semasa tidak terjejas dengan penarikan balik produk ini.

"Sehingga hari ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh isu ini dilaporkan di Malaysia.

"Syarikat percaya penarikan balik produk ini perlu kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan Honda Malaysia," kata Honda dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah mereka, semua pelanggan terjejas akan dimaklumkan melalui surat, yang akan menyertakan butiran penarikan balik produk.

Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terjejas untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temujanji selepas menerima surat pemberitahuan bagi membolehkan kenderaan mereka diperiksa dan dibaiki jika perlu, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.

Pemeriksaan, pembaikan dan penggantian bahagian yang terjejas adalah percuma dan semua kos berkaitan akan ditanggung oleh Honda Malaysia.

Pemilik kenderaan boleh mendapatkan maklumat atau menyemak status kenderaan mereka dengan menghubungi Honda Malaysia di 1-800-88-2020.