Kedudukan dan hubungan ekonomi India-Malaysia membuka banyak peluang untuk jalinan kerjasama antara kedua-dua negara, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B. N. Reddy.

Reddy berkata hubungan dua hala berada pada kedudukan terbaik untuk ditingkatkan berdasarkan kepada keutamaan ditunjukkan kerajaan Malaysia seperti ekonomi digital, penjagaan kesihatan yang saksama, tenaga boleh diperbaharu dan kecekapan syarikat India dalam teknologi digital, teknologi kewangan dan tenaga boleh baharu yang menurutnya menawarkan sinergi hebat untuk perkongsian.

Begitu juga dengan syarikat Malaysia yang cekap dalam pembinaan, infrastruktur, pembuatan elektronik dan dalam bidang lain, menurutnya berpeluang besar terbabit dalam pelan pengembangan infrastruktur serta misi semikonduktor negara itu.

Beliau berkata jalinan usaha sama perdagangan juga boleh dilaksanakan dalam beberapa produk atau sektor termasuk barangan elektronik, farmaseutikal, hasil pertanian dan organik serta produk marin yang berpotensi besar serta menguntungkan.

"Kami komited untuk mengukuhkan penglibatan perdagangan dan perniagaan kami dan membawanya ke tahap baharu, ketika kita meraikan 65 tahun hubungan diplomatik India-Malaysia," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini sempena sambutan itu.

Beliau ditanya mengenai bidang kerjasama baharu yang boleh diteroka oleh kedua-dua negara dalam mengeratkan hubungan dua hala.

Pada 2010, India dan Malaysia mewujudkan Perkongsian Strategik yang merangkumi hubungan dua hala secara menyeluruh. Ia terjalin semasa lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Malaysia pada November 2015 dengan kedua-dua negara bersetuju meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Strategik Dipertingkatkan.

Reddy berkata beliau yakin hubungan dua hala New Delhi-Kuala Lumpur akan mencapai potensi penuh seperti dibayangkan dalam Perkongsian Strategik Dipertingkatkan apabila kedua-dua negara meraikan hubungan diplomatik 65 tahunnya tahun ini.

"Hubungan India-Malaysia telah mencapai kemajuan memberangsangkan dalam tempoh enam setengah dekad lalu. Hubungan sejarah antara India dan Malaysia berdasarkan jarak geografi dan hubungan rakyat dengan rakyat selama bedekad telah membantu meletakkan asas kukuh kepada perkongsian dua hala kami dengan Malaysia," katanya.

Mengenai persoalan sama ada terdapat sebarang cadangan pelaburan sedang dijalankan pada masa ini antara kedua-dua negara, Reddy berkata beberapa perbincangan sedang berjalan membabitkan cadangan pelaburan terutama dalam bidang e-dagang, kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu, dengan pengumuman khusus akan dibuat sebaik sahaja keputusan dicapai.

"Pandemik COVID-19 telah membawa cabaran baharu dan juga membuka sempadan baharu kerjasama," katanya.

Reddy berkata prospek besar untuk India ialah memenuhi keperluan tenaga kerja dan pembangunan kemahiran Malaysia.

Dalam temu bual itu, Reddy menegaskan kejayaan penting dalam hubungan dua hala ini - India-Malaysia@65, memberi peluang untuk meneroka bidang kerjasama baharu dan pada masa sama mengukuhkan kemajuan yang dicapai setakat ini.

"Menerusi kerjasama ekonomi dan komersial yang berkembang pesat selain dalam sektor pertahanan, hubungan India-Malaysia boleh disifatkan sebagai rapat, mesra dan istimewa dan bersedia untuk mencapai tahap lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Reddy berkata walaupun COVID-19 mewujudkan cabaran dalam beberapa bidang, perdagangan dua hala India-Malaysia berkembang dengan ketara. Perdagangan dua hala mencecah US$19.4 bilion pada tahun kewangan 2021-22, meningkat lebih 34 peratus yang merupakan rekod tertinggi baharu.

Eksport Malaysia ke India didominsi petroleum, produk berkaitan minyak sawit, barangan elektronik serta bahan kimia manakala eksport India ke Malaysia dipacu oleh barangan kejuruteraan, bahan kimia, produk berasaskan petroleum, daging, gula dan produk makanan.

Reddy menjelaskan hubungan perdagangan antara India dan Malaysia telah meletakkan asas kukuh kepada perkongsian perdagangan dan pelaburan dua hala, yang terus berkembang maju sehingga hari ini.

"Walaupun asas perdagangan kukuh, potensi untuk mengembangkan lagi perdagangan antara kedua-dua negara juga besar. Semasa Perundingan Pejabat Luar Negeri dua hala pada April tahun ini, kedua-dua pihak komited untuk mengembangkan nilai, jumlah dan kepelbagaian perdagangan dua hala," katanya.

Menurut Reddy, mesyuarat tetap Forum Ketua Pegawai Eksekutif India-Malaysia juga akan dipertingkat selaras dengan komposisi baharu barisan Ketua Pegawai Eksekutif baru-baru ini, manakala mesyuarat Suruhanjaya Bersama peringkat Menteri Luar juga dijadualkan diadakan lewat tahun ini untuk mengkaji kemajuan dalam keseluruhan rangkaian hubungan dua hala.

Reddy berpendapat pertukaran perspektif lebih luas mengenai isu serantau dan global sangat penting, dengan "mengambil kira kedinamikan geo-politik dan geo-ekonomi yang berubah pantas dengan implikasi meluas untuk kedua-dua negara".

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk kedua-dua negara menyemak semula Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif India-Malaysia (MI-CECA) dua hala yang berkuat kuasa pada 2011 untuk mencerminkan keutamaan kontemporari kedua-dua negara.

Pesuruhjaya Tinggi itu menegaskan kedua-dua negara menyaksikan perubahan peringkat tinggi dalam kalangan menteri dan pegawai kanan kedua-dua negara dengan kedua-dua negara telah membuka sepenuhnya sekatan perjalanan. Beliau menyifatkan perkembangan ini tepat pada masanya memandangkan kedua-dua negara meraikan 65 tahun hubungan diplomatiknya.

"Hubungan perdagangan dan pelaburan mempunyai potensi untuk menjadi tonggak lebih kukuh dalam Perkongsian Strategik Dipertingkat. Saya yakin komuniti perniagaan India dan Malaysia akan memanfaatkan peluang baharu dalam perdagangan serta pelaburan ini. Saya juga mempelawa perniagaan Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada kisah pertumbuhan India, ketika India memulakan perjalanannya untuk menjadi negara maju menjelang 2047," katanya.

-- BERNAMA