KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan penerbitan Kenyataan Pra-Bajet 2023 pada 3 Jun lepas berikutan ia merupakan instrumen penting kepada ketelusan fiskal dan tadbir urus.

Menurut IDEAS dalam kenyataan pada Jumaat, ia telah menjadi pendukung utama penerbitan Kenyataan Pra-Bajet sebagai badan pemikir yang telah menjalankan penilaian terhadap ketelusan belanjawan Malaysia dalam Tinjauan Belanjawan Terbuka sejak tahun 2015.

"IDEAS menyarankan penglibatan kumpulan pemegang taruh bersasar terutamanya kumpulan minoriti atau rentan untuk memberikan maklum balas mengenai dasar-dasar belanjawan utama, lebih-lebih lagi dalam masa yang tidak tentu ketika ini apabila penggubalan dasar yang cepat dan responsif mungkin akan menyebabkan kesan yang tidak diingini terhadap kumpulan ini," kata Pengurus Unit Kewangan Awam IDEAS Alissa Rode.

Beliau berkata satu pendekatan perundingan berkenaan belanjawan negara amat penting dalam memastikan pelbagai dasar adalah relevan dan terangkum.

"Oleh itu, kami menjangkakan dokumen Kenyataan Pra-Bajet akan diikuti dengan satu usaha menyeluruh dalam mendapatkan penglibatan awam," katanya.

Mengenai pelan rasionalisasi subsidi untuk kumpulan bersasar dan rentan, Rode berkata dokumen Kenyataan Pra-Bajet menunjukkan bahawa subsidi petroleum dan minyak masak sahaja diunjurkan meningkat kepada RM30 bilion daripada anggaran asal sebanyak RM4 bilion.

"Oleh itu, kita perlu melangkah ke hadapan dengan mempunyai perbelanjaan subsidi yang lebih boleh diramal dan terurus.

"Rasionalisasi subsidi jika digabungkan dengan pengagihan yang lebih berkesan akan memastikan kerajaan menyalurkan sumber awam kepada kumpulan yang paling memerlukan," katanya.

Mengenai komitmen Kementerian Kewangan untuk mengurangkan hakisan asas cukai dan peralihan keuntungan oleh pembayar cukai global seiring dengan piawaian Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Rode berkata peralihan strategi cukai juga perlu dilengkapi dengan pertimbangan yang lebih mendalam mengenai insentif bukan fiskal yang memberi nilai kepada para pelabur di Malaysia.

"Sebagai sebuah negara membangun yang menyasarkan untuk mendigitalkan dan mengautomasikan sektornya, amat penting untuk sektor tempatan disokong oleh pelaburan langsung asing (FDI) yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran tertentu.

"Di sinilah insentif bukan fiskal perlu mesra pelabur, terutamanya dalam suasana pasca pandemik," kata Pengarah Penyelidikan IDEAS Dr Juita Mohamad.

Selain penerbitan Kenyataan Pra-Bajet merupakan satu langkah yang betul ke arah satu proses belanjawan yang ditadbir dengan baik dan telus, IDEAS menyeru kerajaan menerbitkan satu Semakan Pertengahan Tahun untuk membolehkan penyeliaan terhadap kedudukan fiskal negara pada pertengahan tahun kewangan.

-- BERNAMA