Ikhlas Al Dain tawar pembiayaan mudah bagi PMKS

Shaznina Rozman
Mei 29, 2023 08:25 MYT
Ikhlas Al Dain tidak memerlukan sebarang cagaran untuk memberikan kemudahan pembiayaan. - Ikhlas Al Dain
KUALA LUMPUR: Ikhlas Al Dain Sdn Bhd kini menawarkan pembiayaan kepada kontraktor PMKS yang berjaya mendapatkan kontrak perolehan Kerajaan Persekutuan.
Kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh Ikhlas merupakan alternatif yang boleh membantu kontraktor-kontraktor yang memerlukan pembiayaan dalam melaksanakan projek-projek mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas Al Dain, Razif Mohar berkata, Ikhlas berbeza dengan bank perdagangan dan institusi kewangan lain kerana ia tidak memerlukan sebarang cagaran untuk memberikan kemudahan pembiayaan.
"Ikhlas hanya memerlukan kontrak yang difaktorkan kepada mereka, iaitu assignment of proceeds.
"Kontrak tersebut akan dijadikan sebagai sekuriti/keselamatan," katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI.
Beliau turut menambah bahawa syarikat yang baru ditubuhkan atau kurang dari dua tahun beroperasi biasanya kurang layak untuk mendapatkan pinjaman dari bank perdagangan.
"Namun, bagi Ikhlas, syarikat yang baru ditubuhkan juga layak memohon kemudahan pembiayaan, tetapi pemohon mesti mempunyai pengalaman yang berkaitan dengan kontrak yang diperolehi dan mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya," katanya.
Selain itu, pemohon yang mempunyai senarai hitam di biro kredit seperti CTOS dan Experian juga boleh dipertimbangkan tetapi tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
Purata tempoh kelulusan kemudahan pemfaktoran adalah tiga ke lima hari bekerja.
Walau bagaimanapun, bagi kontrak yang lebih rumit, proses kelulusan akan mengambil masa lebih lama kerana Ikhlas perlu menilai dengan lebih mendalam.
Ini memberikan kemudahan kepada pemohon dalam memperoleh aliran tunai untuk memenuhi keperluan perniagaan mereka.
Menurut Razif lagi, kos-kos yang dikenakan bagi pembiayaan pemfaktoran adalah yuran pentadbiran dan kadar keuntungan.
"Yuran pentadbiran adalah yuran yang dikenakan bagi menjalankan urusan pentadbiran dan pengurusan akaun.
"Sementara itu, kadar keuntungan adalah kos yang dikenakan bagi penggunaan kemudahan pemfaktoran," kata beliau.
Tambahnya, ini adalah komitmen Ikhlas yang telah beroperasi lebih 10 tahun dalam menyediakan kemudahan pembiayaan yang fleksibel dan mudah.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembiayaan pemfaktoran yang disediakan, anda boleh layari www.ikhlasaldain.com atau menghubungi talian 03-7688 1014.
Niaga AWANI: Tingkat peluang perniagaan PMKS
#Ikhlas Al Dain #pembiayaan #PMKS