Industri automotif Malaysia: 29,000 peluang pekerjaan ditambah, ganti pekerja asing

Harits Asyraf Hasnan
Januari 18, 2018 08:31 MYT
Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata peningkatan peluang kerja itu hasil penggantian pekerja asing dalam bidang tersebut yang dilaksanakan Institut Automotif Malaysia (MAI). - Foto BERNAMA
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan penambahan 29,641 peluang pekerjaan dalam bidang automotif pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata peningkatan peluang kerja itu hasil penggantian pekerja asing dalam bidang tersebut yang dilaksanakan Institut Automotif Malaysia (MAI).
"Pertama sekali, peluang pekerjaan baharu akan lebih banyak. Lebih tepat 27,175 pada tahun depan.
"Ini kerana rata-rata mereka yang masuk ke industri automotif adalah menggantikan pekerja asing. 23,444 pekerja asing telah diganti.
"Menerusi inisiatif yang dilaksanakan MAI, kita berjaya kurangkan sehingga 23,000 pekerja dan satu angka yang besar dalam pengurangan pekerja asing di negara ini," katanya selepas taklimat industri automotif 2017 dan unjuran 2018 di sini hari ini.
Pada 2017, sebanyak 27,175 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan automotif diwujudkan berbanding 25,850 pada 2016.
Ia meliputi 18,670 separa mahir, 5,508 mahir dan berkemahiran tinggi 2,997 peluang pekerjaan pada 2017.
Sementara itu, menerusi inisiatif transformasi Bumiputera, 1,030 bengkel dan pengedar akan diwujudkan selain menawarkan 1,000 peluang latihan untuk meningkatkan kemahiran.
#Datuk Seri Mustapa Mohamed #industri automotif #Institut Automotif Malaysia #Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri #peluang pekerjaan