KUALA LUMPUR: Inflasi keseluruhan Malaysia diunjurkan berada antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus pada 2023 berikutan pemulihan ekonomi yang kukuh disebabkan pandemik COVID-19, kata Manulife Investment Management.

Ketua Strategi Makro Asia, Sue Trinh berkata inflasi adalah sangat rendah di Malaysia berbanding di negara-negara lain di seluruh dunia terutamanya pasaran sedang pesat membangun, ia disebabkan oleh subsidi yang besar daripada kerajaan berjumlah kira-kira 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Oleh itu, kami berpendapat bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan melakukan tindakan pada masa terdekat berkaitan kitaran pengetatan dasar monetari bank pusat itu," katanya pada taklimat media secara maya mengenai prospek pelaburan pertengahan tahun Manulife Investment Management 2022.

Imbas kembali, Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.0 peratus pada Mei. Ia adalah selepas empat pengurangan secara berturut-turut berjumlah 125 mata asas antara Januari dan Julai pada tahun 2020, mengurangkan OPR kepada paras terendah pada 1.75 peratus.

Minggu lepas, BNM memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 2.25 peratus, ia juga merupakan kenaikan OPR berturut-turut pertama BNM sejak pertengahan 2010 apabila kadar faedah kembali normal berikutan pemulihan daripada krisis kewangan global pada tahun 2008 dan 2009.

"Seperti kebanyakan bank pusat di Asia, kami menjangkakan kitaran pengetatan secara relatifnya lebih lengang daripada apa yang kami lihat di pasaran lain," kata Trinh.

Sementara itu, Manulife Investment Management berkata, ia mengekalkan pandangannya bahawa ekonomi global boleh mengalami kelembapan pertumbuhan yang ketara pada 2022.

"Dengan KDNK global yang dilihat dalam aliran menurun dan tahap kadar hutang telah meningkat pada paras tertinggi, pelabur harus lebih selektif dengan mencari negara yang paling tidak terdedah kepada potensi kejutan permintaan dan bekalan.

"Kami berpendapat Malaysia, Vietnam, Taiwan, Australia, dan New Zealand berkemungkinan menjadi penerima manfaat terbesar di rantau ini daripada kejutan berkaitan makanan dan tenaga serta potensi kejutan kecairan," kata Trinh.

Ketua Pegawai Pelaburan Manulife Investment Management bahagian Pendapatan Tetap, Asia (tidak termasuk Jepun) Murray Collis berkata sesetengah negara Asia mungkin menawarkan peluang untuk pelabur berpendapatan tetap terutamanya selepas hasil Perbendaharaan AS berada pada paras lebih tinggi berbanding ketika pandemik.

Beliau berkata kepelbagaian yang lebih besar dalam magnitud pengetatan dasar monetari dijangka di seluruh rantau dan berbanding Rizab Persekutuan AS dan bank pusat negara-negara maju yang lain, secara amnya pendirian bank pusat yang tidak menaikkan kadar faedah sepatutnya menyokong pasaran kredit Asia terpilih.

"Kami menjangkakan risiko idiosinkratik akan kekal pada tahap tertentu dalam pasaran kredit Asia untuk separuh kedua 2022. Bagaimanapun, pelabur lebih mendapat menfaat dengan kredit Asia yang menawarkan penilaian yang agak menarik selepas pergerakan hasil Perbendaharaan AS dari tahun ke tahun.

"Kami percaya Asia Tenggara telah muncul sebagai pasaran pilihan yang yang berpotensi dalam persekitaran kebimbangan risiko stagflasi daripada pelabur global kerana beberapa pasaran telah merekodkan pertumbuhan KDNK lebih cepat daripada jangkaan. Ini disebabkan oleh pemulihan dalam pelancongan, pembukaan semula ekonomi dan eksport komoditi yang kukuh," tambahnya.

Collis berkata pertumbuhan yang lebih pantas telah meningkatkan barangan penggunaan dalam sesetengah negara Asia Tenggara dengan kadar pertumbuhan yang berpotensi mengatasi inflasi.

"Jangkaan sedemikian adalah berbeza dengan beberapa pasaran maju yang menghadapi stagflasi yang semakin meningkat dan risiko kemelesetan," tambahnya.

-- BERNAMA