KUALA LUMPUR: Ekspo Usahawan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) (EXPERT) merupakan antara program yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di bawah projek teras Program Sokongan dan Pemerkasaan Usahawan PERDA (SPEAR).

Tema EXPERT bagi tahun 2022 ialah Usahawan Luar Bandar Tunggak Ekonomi Negara.

EXPERT akan berlangsung selama empat hari bermula dari 8 September hingga 11 September 2022 (Khamis hingga Ahad) bertempat di Midtown PERDA, Kubang Menerong, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Ekspo itu diperkenalkan bertujuan untuk mempromosikan produk keluaran usahawan khususnya usahawan luar bandar Pulau Pinang.

Platform ini memberi ruang menyeluruh kepada usahawan yang telah menjalankan perniagaan mahupun yang baru menceburi bidang keusahawanan.

Pengerusi PERDA, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, objektif EXPERT adalah untuk menyediakan platform promosi yang berpusat dan komprehensif untuk usahawan Bumiputera Pulau Pinang memperkenal dan mempromosi produk atau perkhidmatan syarikat.

“Ekspo ini untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera di dalam pelbagai bidang ekonomi dengan menghimpunkan usahawan-usahawan Bumiputera pelbagai sektor dan peringkat di dalam satu ekspo bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan produk usahawan Bumiputera atau peluang pekerjaan,” tambah beliau.

Kata Khaliq Mehtab, antara impak yang diharapakan melalui penganjuran EXPERT ialah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap produk Bumiputera.

“Lebih banyak produk Bumiputera dapat diketengahkan ke pasaran utama dan secara tidak langsung ia dapat memberikan keyakinan kepada pengguna untuk memilih produk tempatan keluaran Bumiputera.

“Promosi jaringan kerjasama aktiviti perniagaan dan jualan juga dapat dipertingkatan,” katanya ketika ditemu bual di Niaga AWANI baru-baru ini.

Selain daripada jualan dan promosi produk-produk usahawan Bumiputera, pelbagai aktiviti sampingan telah disusun sepanjang ekspo berlangsung dan antaranya ialah pameran dan perkhidmatan agensi kerajaan.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan agensi kerajaan dan perkhidmatan secara terus di kaunter bergerak.

Terdapat banyak lagi pengisian menarik seperti forum keusahawanan dan sesi pemadanan perniagaan, program bertemakan keagamaan, sukan rakyat, karnival kerjaya, aktiviti hiburan dan santai serta lain-lain lagi.

Penganjuran ini akan menawarkan sebanyak 200 gerai serta ruang niaga melibatkan pelbagai sektor antaranya ialah gerai jualan produk usahawan dan perkhidmatan, jualan kereta serta pelbagai ruang pameran melibatkan agensi-agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Niaga AWANI: Expert 2022 | Usahawan luar bandar tonggak ekonomi negara

*Artikel ini adalah kandungan berbayar