KUALA LUMPUR: Langkah melaksanakan pendekatan ke arah kadar cukai berperingkat dapat memberi ganjaran kepada pelaburan berkualiti tinggi untuk negara ini, kata PwC Malaysia.

Malah, Ketua Percukaiannya, Jagdev Singh berkata pentakrifan semula jenis pelaburan yang diperlukan Malaysia juga merupakan perkara teras berikutan persaingan sengit bagi mendapatkan pelaburan baharu di rantau ini.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk melaksanakan sebarang tindakan yang membolehkan peralihan daripada menumpukan pelaburan modal semata-mata kepada aspek kualiti serta kesan pengganda seperti mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dan pembangunan ekosistem utama bagi kemajuan penggiat tempatan.

"Oleh itu, cadangan memperkenalkan Cukai Barangan Mewah tahun ini, komitmen untuk mengkaji pengenalan Cukai Keuntungan Modal ke atas pelupusan saham tidak tersenarai mulai 2024 serta kenaikan kadar cukai pendapatan individu kepada 2.0 peratus daripada 0.5 peratus bagi julat cukai RM100,001 hingga RM1 juta, tidak harus dilihat sebagai mengejutkan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jagdev berkata, oleh kerana kerajaan telah menegaskan tidak akan memperkenalkan cukai penggunaan meluas dalam Belanjawan 2023, pilihan bagi Malaysia untuk meningkatkan hasil pendapatan adalah terhad.

"Bagaimanapun, kajian mengenai kemungkinan memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal perlu dilakukan bagi memastikan manfaat (seperti jumlah hasil cukai yang dijana) ternyata lebih daripada kos (impak kepada ekosistem pelaburan dan bebanan pentadbiran untuk pihak berkuasa dan pembayar cukai," katanya.

-- BERNAMA