KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) berjaya melatih 28,929 usahawan dari seluruh Malaysia melalui 762 program latihan dan bimbingan keusahawanannya membabitkan hasil jualan bernilai RM12.3 juta tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, pihaknya menyasarkan 20 peratus peningkatan jualan menerusi 422 program latihan dan bimbingan keusahawanan Insken tahun ini dan dapat membantu 13,400 usahawan mengekalkan momentum cemerlang dalam melaksanakan perniagaan dipilih mereka.

Jelasnya, sehingga April 2022, sebanyak 179 program latihan dan bimbingan keusahawanan dan 6,575 pelatih dijalankan bagi kesemua program anjuran Insken.

"Keberkesanan program-program anjuran Insken membuatkan kami bertambah bersemangat untuk terus membantu usahawan di negara ini. Oleh demikian pada 2022, kami mensasarkan untuk membantu usahawan mikro dan informal bagi memperkasakan perniagaan melalui program latihan dan bimbingan anjuran Insken.

"Selain itu, Insken juga akan memastikan penjaja dan peniaga kecil dapat menguasai perkara asas perniagaan iaitu mengurus tunai melalui Kursus Asas Tunai yang mula dilaksanakan sejak awal tahun ini.

"Beberapa program baharu yang memfokuskan kepada topik kepimpinan, kewangan dan bimbingan usahawan permulaan akan diperkenalkan pada tahun ini. Sejajar dengan peralihan ke fasa endemik, mod program anjuran Insken juga bertukar kepada 50 peratus secara dalam talian dan 50 peratus secara fizikal," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA: Insken bantu usahawan tempuh norma baharu, catat peningkatan jualan RM9.8 juta

BACA: INSKEN catat peningkatan hasil RM5.7 juta, 174 pekerjaan baharu - Noh Omar

Terdahulu, beliau berkata demikian dalam Taklimat Media Pencapaian INSKEN 2021, secara dalam talian.

Dalam pada itu katanya, laporan pencapaian 2021 menunjukkan RM12.3 juta hasil jualan dapat ditingkatkan melalui 31 Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), lapan Online Onboarding
Coaching Program (E-Board) dan dua Program Bimbingan Usahawan Atlet (Sportspreneur).

"Secara keseluruhan, 28,929 usahawan dari seluruh negara dilatih melalui 762 program latihan dan bimbingan keusahawanan bagi mecapai matlamat tahun lalu iaitu untuk memastikan usahawan dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu.

"Pecahan 762 program itu terbahagi kepada 605 latihan, 47 bimbingan dan 110 program khas. Kesemua program anjuran Insken pada tahun lalu masih lagi dijalankan secara dalam talian dan sekali gus telah melepasi sasaran awal iaitu 14,720 usahawan yang perlu dilatih melalui 336 program latihan serta bimbingan,” katanya.

Katanya, selain itu, ia bagi menggalakkan usahawan baharu untuk menyertai Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) terutama dalam kalangan graduan dan usahawan baharu.

"Program ini dapat memperkasakan ekosistem keusahawanan dengan melahirkan lebih ramai usahawan terutama dalam kalangan generasi muda dengan menjadi egen dan dropship kepada jenama produk yang kukuh di pasaran sedia ada.

"Ia juga dapat memberikan pendedahan awal kepada bakal usahawan tentang selok belok perniagaan dan mengenali pasaran sebelum mereka memulakan perniagaan sendiri dan mengeluarkan produk," ujarnya.

Kata Muhd Firdaus lagi, ia bertepatan dengan kenyataan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP),Tan Sri Noh Omar bahawa usahawan yang menyertai program latihan serta bimbingan di bawah KUSKOP bukan sekadar menerima sijil penyertaan semata-mata malah layak untuk mendapatkan pinjaman yang jumlahnya akan ditentukan oleh penilaian pegawai kementerian.

Beliau berkata, ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai golongan masyarakat menceburi bidang keusahawanan.

"Seiring dengan dasar yang diusahakan oleh KUSKOP itu, Insken memperhebatkan program latihan dan bimbingan pada tahun lalu dan berjaya menghasilkan lonjakan hasil jualan usahawan selepas tamat menjalani latihan serta bimbingan.

"Insken turut mengalu-alukan kolaborasi rentas kementerian dan agensi seperti yang dilaksanakan pada tahun lalu dan antara kolaborasi cemerlang pada tahun lalu adalah di antara KUSKOP dan Kementerian Belia dan Sukan melalui Program Sportspreneur.

"Program ini bertujuan untuk mempersiapkan atlet negara selepas bersara dengan menceburi bidang keusahawanan dan RM71 ribu hasil jualan tercatat melalui penglibatan 23 wira serta wirawati negara," katanya.