KUALA LUMPUR: Institusi tempatan sekali lagi kembali menjadi pembeli bersih pada RM288.68 juta selepas menjadi penjual bersih selama empat minggu berturut-turut sejak minggu berakhir 13 Mei, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research).

Menurut Laporan Aliran Dana mingguan yang dikeluarkan hari ini, firma penyelidikan itu berkata peruncit tempatan juga terus menjadi pembeli bersih pada RM222.85 juta.

Setakat ini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih untuk tempoh 17 minggu daripada 24 minggu pada 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih berjumlah RM6.45 juta.

"Institusi tempatan memulakan minggu ini sebagai pembeli bersih berjumlah RM99.89 juta pada Isnin, hari belian bersih paling kukuh sebelum menjadi penjual bersih pada hari berikutnya, dengan jualan bersih sebanyak RM21.13 juta," menurut MIDF Research.

"Ia sekali lagi terus menjadi pembeli bersih bagi sepanjang minggu berkenaan mulai Rabu hingga Jumaat.

"Institusi tempatan telah menjadi penjual bersih untuk tempoh 19 minggu daripada 24 minggu tahun ini," katanya sambil menambah, setakat ini ia telah menjual RM7.98 bilion ekuiti.

MIDF Research berkata peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih setiap hari pada minggu ini dengan nilai RM222.85 juta ekuiti.

"Hari belian bersih paling kukuhnya adalah pada Rabu dan Isnin, masing-masing pada RM63.89 juta dan RM63.31 juta," katanya.

Peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih untuk tempoh 15 minggu daripada 24 minggu pada tahun ini.

Setakat ini, peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih sebanyak RM1.53 bilion.

Dari segi penyertaan, ia menjelaskan, pelabur asing, pelabur institusi dan pelabur runcit, kesemuanya menunjukkan pertumbuhan mingguan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) masing-masing pada 47.61 peratus, 7.98 peratus dan 3.04 peratus.

"Dari segi sektor, perkhidmatan kewangan, produk industri dan perkhidmatan, dan utiliti menyaksikan aliran keluar bersih yang tertinggi oleh warga asing, masing-masing berjumlah sehingga RM141.6 juta, RM105.7 juta dan RM83.9 juta.

"Belian bersih terbesar oleh warga asing adalah perladangan, berjumlah RM61.8 juta," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata pelabur asing meneruskan jualan bersih ekuiti Asia bagi minggu berakhir 17 Jun.

"Berdasarkan data agregat sementara bagi tujuh bursa Asia yang kami jejaki, pelabur yang diklasifikasikan sebagai "asing" menjual US$7.67 bilion bersih pada minggu lepas.

"Daripada 24 minggu dagangan setakat ini pada 2022, 17 minggu adalah bagi jualan bersih, manakala tujuh minggu lagi bagi belian bersih.

"Semua tujuh bursa Asia yang kami jejaki mencatatkan aliran keluar asing bersih pada minggu ini. Aliran keluar yang besar, masing-masing direkodkan di Taiwan pada US$3.70 bilion, diikuti India (US$2.25 bilion) dan Korea pada US$1.09 bilion," katanya.

Katanya pelabur asing menjual bersih pada setiap hari minggu lepas, dengan aliran keluar terbesar pada Isnin iaitu US$3.07 bilion.

"Ini terutamanya disumbangkan oleh Taiwan dengan aliran keluar bersih US$1.76 bilion.

"Jualan bersih yang teguh berlanjutan pada Selasa dan Rabu yang menyaksikan jualan bersih lebih US$1.0 bilion, hanya sebelum keputusan mengenai kadar dana dikeluarkan oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

"Selasa menyaksikan aliran keluar bersih berjumlah US$1.67 bilion, manakala jualan bersih pada Khamis berjumlah sehingga US$1.81 bilion," katanya.

MIDF Research berkata aliran keluar dana asing paling rendah dicatatkan pada Khamis bernilai US$247.75 juta memandangkan pasaran agak lega dengan keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang seiring dengan jangkaan pasaran.

-- BERNAMA