Jabatan Peguam Negara perlu memberi keutamaan kepada kes membabitkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata ia bagi memastikan segala kes atau kertas siasatan berhubung GST dapat disegerakan pendakwaannya di mahkamah.

"Dengan ini baru kita dapat meyakinkan rakyat, yang sebenarnya kerajaan mahu melihat peniaga tidak beretika ini dikenakan tindakan," katanya selepas hadir memberi penerangan GST, bajet dan isu-isu semasa anjuran MIC Pusat, di Brinchang, dekat sini pada Isnin.

Beliau berkata sehingga semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memaklumkan bahawa sebanyak 815 kertas siasatan dibuka di seluruh negara, termasuk 44 kes yang sudah siap untuk dibawa ke mahkamah.

Selain itu, Ahmad berkata pengeluar pelbagai produk barangan disaran untuk mengumumkan penurunan harga sepertimana dilakukan pengeluar kereta, berikutan pelaksanaan GST sejak 1 April lepas.

Beliau berkata pengeluar produk tidak boleh memberi alasan lagi dan mengambil kesempatan terhadap rakyat kononnya tidak tahu berhubung perkara itu kerana pihaknya telah lama mengeluarkan senarai barang tidak dikenakan GST.

"Pengeluar produk yang ada di Twitter @Ahmad Maslan perlu mengumumkan penurunan, yang dulu 10 peratus SST (cukai jualan dan perkhidmatan) turun kepada enam peratus iaitu menggantikan GST," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan lebih tegas kepada pengeluar mahupun peniaga yang mengenakan harga tidak berpatutan.

"Bulan pertama sebenarnya kita sedang memujuk, itu sebab kita malas nak masuk mahkamah, bulan kedua kita bawa kes mereka ke mahkamah. Bulan ketiga mungkin lagi ganas, kita tangkap dan mendakwa di mahkamah.

"Saya nasihatkan kepada pengeluar jadilah peniaga beretika dan jadi pengeluar, pembuat dan pengilang beretika sebagaimana pengeluar kereta yang mengumumkan kepada umum," katanya.

Sementara itu, mengulas sikap segelintir rakyat yang masih memberi respons negatif berhubung GST, Ahmad berkata proses pemahaman dan memujuk itu merupakan satu proses jangka panjang.

"Kita tidak boleh beri pemahaman kepada semua orang dalam satu masa. Kenapa kita susah nak fahamkan rakyat tentang GST kerana dari segi psikologi, tidak ada orang suka bayar cukai?

"Itu sebab kita menghadapi masalah dari segi penjelasan kerana minda mereka sudah disekat tidak suka bayar cukai, tetapi apabila kita beritahu cukai itu dari segi ini dan dari segi itu turun, akhirnya akan membuka minda mereka," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa pembangkang dan peniaga yang berfikiran pembangkang merupakan salah satu cabaran kepada pelaksanaan GST.

"Tak kira parti apa lah, tapi kadang-kala mereka tidak pasti pun tapi, fikiran mereka sentiasa membangkang.

"Itu juga satu cabaran kepada kami tapi akhirnya pengguna yang menggunakan kuasa 3M iaitu memilih, memboikot dan melapor akan mendisiplinkan mereka," katanya.