Pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia tidak seharusnya terlepas pandang kawasan pedalaman dalam melaksanakan rangkaian teknologi 5G (generasi kelima), kata Timbalan Pengarah Penyelidikan dari Yonsei Institute of Convergence Technology, Korea Selatan, Prof Dr Gweon Suncheol.

Beliau berkata percubaan 5G di Korea Selatan memberi tumpuan kawasan pedalaman untuk manfaat penduduk yang tinggal di kawasan itu.

"Penduduk di kedua-dua kawasan bandar dan di luar bandar sepatutnya mendapat manfaat daripada pembangunan teknologi ini," katanya di luar forum "Siri Unjuran Digital 2019: Membentuk Lanskap Digital" yang diadakan bersempena dengan pameran 5G Malaysia di sini, hari ini.

BACA: Kerajaan teliti ujian kepantasan 5G sebelum dilaksana - Gobind

Matlamat pameran itu untuk memberi maklumat kepada orang awam tentang bagaimana teknologi 5G boleh memberi kesan dan manfaat dalam kehidupan dan pameran itu akan dibuka dua hari kepada umum bermula esok.

Gweon berkata, MSC Malaysia boleh menjadi motivasi kepada Malaysia untuk mengubah teknologi 5G, termasuk beralih kepada pertanian pintar dan pembuatan pintar.

BACA: Rakyat rasa kesan 5G dalam masa empat atau lima tahun

Sementara itu, Setiausaha Agung Forum Promosi Komunikasi Bergerak Generasi Kelima, Jepun (5GMF) Dr Kohei Satoh mencadangkan kepada pemain industri di Malaysia supaya mempunyai pasaran khusus apabila menawarkan perkhidmatan yang berkaitan dengan 5G dengan melihat aplikasi 'killer' bagi rangkaian 5G.

Applikasi 'killer' adalah program perisian dengan antaramuka pengguna dianggap sebagai sangat inovatif untuk mempengaruhi trend pengkomputeran dan penjualan.

BACA: 5G bakal tingkatkan ekonomi dan pembangunan pelbagai sektor di Malaysia

-- BERNAMA