KUALA LUMPUR: Stesen janakuasa milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jimah East Power (JEP) muncul cemerlang pada Anugerah Tenaga ASEAN 2021 anjuran Pusat Tenaga ASEAN dengan meraih tempat pertama kategori Penggunaan Teknologi Arang Batu Bersih Untuk Penjanaan Tenaga Besar.

Majlis yang diadakan secara maya bersempena Forum Perniagaan Tenaga ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) Ke-39 yang berlangsung pada 14-16 September 2021 di Brunei.

Anugerah itu menobatkan amalan terbaik penggunaan arang batu yang lebih bersih dan lestari dalam usaha peralihan ke arah pembangunan dengan pelepasan karbon yang mampan dan rendah.

JEP berjaya mengatasi saingan daripada PT Indonesia Power PLTU Jateng 2 Adipala Omu, Indonesia yang memenangi tempat kedua manakala Mae Moh Power Plant, Thailand di tempat ketiga.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti berkata, anugerah ini merupakan manifestasi sokongan kepada kerajaan dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dan menghindari risiko ekonomi jangka panjang.

“Mungkin kita akan pelbagaikan pembakaran di JEP menggunakan kaedah lain daripada arang batu untuk mengurangkan paras pencemaran dalam usaha menyokong Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang merupakan sebahagian dari inisiatif JEP dan TNB Genco.

“Ia selaras dengan aspirasi sifar bersih TNB menjelang 2050 yang dipacu menerusi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35% serta pengurangan 50% kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035,” katanya.

Anugerah Tenaga ASEAN adalah majlis anugerah tertinggi di Asia Tenggara yang mendorong dan mengiktiraf penyertaan semua pihak dalam pembangunan tenaga di rantau ASEAN.

Ia merangkumi tiga kategori iaitu Anugerah Arang Batu ASEAN, Anugerah Amalan Terbaik Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga ASEAN serta Anugerah Projek Tenaga Boleh Baharu ASEAN.

Pengajuran anugerah ini diharapkan menjadi insentif untuk organisasi agar terus mempromosikan teknologi arang batu bersih, meningkatkan kecekapan dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dalam usaha menyumbang ke arah kelestarian tenaga serta merangka satu mekanisme penanda aras amalan terbaik dalam pembangunan tenaga.

JEP mempunyai dua loji janakuasa arang batu Ultra-supercritical (USC) yang mempunyai kapasiti penjanaan 2,000MW di Port Dickson adalah loji janakuasa arang batu TNB ketiga dan keempat yang menggunakan teknologi itu.

Selain JEP, dua loji penjanaan USC lain milik TNB ialah Manjung 4 dan Manjung 5 di Lumut yang merupakan antara loji arang batu USC pertama di rantau ASEAN.  Teknologi USC ialah teknologi pembakaran arang batu dengan kecekapan 40 peratus berbanding loji janakuasa arang batu konvensional dengan kecekapan 36%.

TNB memiliki 70% kepentingan saham dalam JEP manakala dua syarikat Jepun Mitsui & Co Ltd dan Chugoku Electric Power Co. Ltd., masing-masing menguasai 15% kepentingan dalam JEP.


- Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.