ISKANDAR PUTERI: Johor dilihat mampu kembali ke kedudukan tiga teratas dalam kalangan negeri yang menerima pelaburan tertinggi selain menjadi antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata selain populasi Johor seramai 3.8 juta orang, negeri tersebut mempunyai kekuatannya yang tersendiri berikutan lokasinya yang strategik dan terletak berdekatan dengan Laut China Selatan dan Selat Melaka serta Singapura.

Berdasarkan kedudukan geografinya yang menarik itu juga, Johor mempunyai tiga pelabuhan yang strategik sekali gus menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di sini, katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di pejabatnya di Kota Iskandar, baru-baru ini.

Beliau mengulas sama ada terdapat kemungkinan untuk Johor mengembalikan kegemilangannya sebagai tiga negeri menerima pelaburan tertinggi pada masa akan datang.

Onn Hafiz berkata antara bukti termasuklah pelaburan sebanyak US$200 juta oleh Insulet Corporation dan RM1.38 bilion daripada GDS Holdings Ltd yang merupakan pemaju dan operator pusat data berprestasi tinggi terkemuka dari China baru-baru ini, menunjukkan bahawa pelabur melihat Johor sebagai pusat pelaburan utama.

"(Pelaburan) ini menunjukkan bahawa malah pelabur melihat Johor sebagai pusat pelaburan utama negeri. Berdasarkan Johor kini stabil dari segi kerajaannya, kami mempunyai mandat yang sangat kuat iaitu 40 daripada 56 kerusi.

"Dari segi kedudukan geografi, ia amat strategik. Kita bersebelahan dengan Singapura. Kita mempunyai tiga pelabuhan, (dari segi) ekonomi, insya-Allah saya yakin kita akan terus berkembang dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.

Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti of Hertfordshire, United Kingdom berkata sektor kesihatan, pusat data, bank makanan dan pelancongan merupakan antara sektor yang akan diberi penekanan.

"Oleh itu, ini adalah sektornya dan ternyata pelancongan. Saya rasa terdapat banyak potensi untuk Johor (berikutan) di sini sahaja kita mempunyai lima taman negara.

"Bagi pencinta alam, mereka suka pergi ke tempat-tempat seperti ini. Kini, kita akan memastikan kembali kepada asas, kebersihan misalnya ok atau tidak, kemudahan awam seperti tandas cukup atau tidak dan infrastruktur, sama ada bertaraf antarabangsa.

"Ini adalah perkara yang saya lihat dalam jangka pendek hingga jangka panjang untuk ekonomi," katanya.

Onn Hafiz berkata ekonomi Johor juga dilihat semakin rancak dengan pembukaan sempadan, sekali gus merancakkan kembali sektor pelancongan.

-- BERNAMA