Kadar pengangguran negara meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei

Rizal Zulkapli
Julai 14, 2020 04:13 MYT
Lebih banyak perniagaan dibenarkan beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada Mei. - Gambar hiasan
Kadar pengangguran Malaysia meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei 2020.
Menurut Jabatan Perangkaan, sejumlah 826,000 orang tidak bekerja setakat Mei lalu.
Ini berbanding kadar pengangguran negara sebanyak 5 peratus yang dicatatkan pada April 2020.
Bagi bulan April, jabatan tersebut melaporkan lebih 778,000 orang menganggur.
Bagaimanapun, peningkatan bulanan bilangan penganggur pada Mei 2020 adalah lebih rendah berbanding peningkatan yang dicatatkan bagi Mac hingga April.
Menurut jabatan tersebut, pengurangan mungkin disebabkan pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan.
Dalam masa yang sama, lebih banyak perniagaan dibenarkan beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada Mei.
Dalam jangka masa pendek, tambahnya, keadaan tenaga buruh pada Jun 2020 dijangka lebih baik dan berterusan untuk separuh kedua tahun 2020.
Ini ditambah pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan, serta inovasi model baru perniagaan yang kreatif, memungkinkan pasaran buruh semakin pulih.
#kerajaan #Malaysia #pakej rangsangan ekonomi #Pasaran buruh #pembukaan semula ekonomi #penganggur #pengangguran #perintah kawalan pergerakan #perintah kawalan pergerakan bersyarat #perniagaan #PKP #PKPB