KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia adalah antara yang akan dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan mengenai kegagalan menyiapkan sistem uCUSTOMS bernilai RM397.43 juta, sehingga kini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, setakat ini kerajaan sudah membayar sejumlah RM272.99 juta bagi projek yang dimulakan pada Oktober 2013  dan diberi pelanjutan sehingga lima kali.

"Kos asal pada 2013 adalah RM317.78 juta setelah lima  lanjutan masa (EOT) dibenarkan, kos akhir menjadi RM397.43.

"Jumlah yang dibayar kerajaan setakat ini adalah RM272.99 juta," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Selasa.

Kata Woh, yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur itu memaklumkan ia merupakan salah satu daripada 25 isu dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 yang bersifat tindakan pembaziran atau punitif.
BACA SEMUA BERHUBUNG RMK-12 DI SINI


Beliau menjelaskan, PAC akan menjalankan prosiding terhadap 25 isu berkenaan yang turut melibatkan Kementerian Kewangan, dijangka dilaksanakan mulai November ini.

Katanya, PAC memandang serius peningkatan isu yang bersifat punitif dalam LKAN 2019 Siri 1 yang hanya mencatatkan 11 isu tindakan punitif.

Ekoran itu, beliau berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan lebih bersikap agresif dan memandang serius isu-isu yang dibangkitkan dalam LKAN yang dibentangkan.

"PAC menggesa SPRM untuk melakukan siasatan dengan segera terhadap semua isu yang dikategorikan punitif.

Pun begitu beliau berpendapat, siasatan SPRM tidak akan menyebabkan berlakunya pertindihan tindakan antara PAC dan suruhanjaya itu. 

Sementara itu, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid memberitahu, isu membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dicatatkan sebagai pembaziran tertinggi dalam laporan berkenaan.

Katanya, ia diikuti projek bekalan air mentah Pahang-Selangor bernilai RM71.6 juta dan projek perkhidmatan rangkaian telekomunikasi bersepadu kerajaan membabitkan RM4.89 juta.

Nik Azman turut menjelaskan pembaziran itu bermaksud bayaran dibuat untuk sesuatu projek namun projek terbabit gagal disiapkan.