KDNK menguncup 17.1 peratus suku kedua 2020 - Menteri Kewangan

Fareez Azman
Ogos 14, 2020 13:12 MYT
TENGKU ZAFRUL: Berdasarkan analisa yang lebih mendalam, perlu ditekankan bahawa penambahbaikan pertumbuhan jelas dapat dilihat dari bulan April (-28.6%), kepada bulan Mei (-19.5%) dan bulan Jun (-3.2%). - Gambar fail/BERNAMA
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan penguncupan 17.1 peratus pada suku kedua (ST2) tahun 2020.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Jelasnya, berdasarkan analisa yang lebih mendalam, penambahbaikan pertumbuhan KDNK itu susulan pemulihan ekonomi yang kukuh selepas pembukaan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Berdasarkan analisa yang lebih mendalam, perlu ditekankan bahawa penambahbaikan pertumbuhan jelas dapat dilihat dari bulan April (-28.6%), kepada bulan Mei (-19.5%) dan bulan Jun (-3.2%).
"Angka KDNK pada bulan Jun 2020 jelas menunjukkan pemulihan ekonomi yang kukuh sejajar
dengan pembukaan dan pelaksaanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.
Pengucupan pertumbuhan KDNK itu telah dijangka memandangkan penguatkuasaan PKP sejak bulan Mac hingga Mei yang menyebabkan gangguan serentak kepada rantaian bekalan dan penggunaan swasta.
"Semua sektor utama seperti Perkhidmatan, Pembuatan, Perlombongan dan Pembinaan terjejas akibat penutupan sempadan antarabangsa, serta pelaksanaan PKP oleh kerajaan antara yang paling tegas di rantau ini bagi membendung pandemik COVID-19.
"Ini ternyata dalam kejayaan Malaysia dalam mengawal penularan pandemik ini di peringkat domestik, sekali gus membolehan ekonomi dibuka secara beransur-ansur mulai 4 Mei 2020," katanya.
Malah pengucupan pertumbuhan suku kedua itu turut dialami oleh negara lain, malah Dana Kewangan Dunia (IMF) telah mengunjurkan bahawa lebih 150 negara melaporkan penguncupan pertumbuhan sebanyak dua digit bagi tempoh itu.
Bagi mengurangkan impakke atas ekonomi, kerajaan jelas Tengku Zafrul telah bertindak pantas dengan memperkenalkan 80 langkah dan inisiatif dibawah pakej ransangan dan pemulihan ekonomi iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS Plus dan juga PENJANA dengan nilai keseluruhan RM295 billion.
Justeru, jelasnya kerajaan yakin bahawa langkah-langkah yang telah diambil akan terus meringankan cabaran dan beban aliran tunai.
Berikut 10 merupakan kesan positif pemulihan ekonomi negara dalam tempoh suku kedua tahun ini.
Angka terbaharu dari petunjuk jangka pendek telah menunjukkan kesan positif yang memberangsangkan dan pemulihan ekonomi negara.
1) Eksport negara berkembang 8.8% dari tahun-ke-tahun pada bulan Jun 2020, peningkatan dari -25.5% yang dicatat pada bulan Mei.
2) Indeks Pengeluaran Perindustrian (Industrial Production Index) meningkat 26.2% dari bulan-ke-bulan pada bulan Jun 2020 (-0.4% tahun-ke-tahun berbanding Mei: -21.6% tahun-ke-tahun);
3) Nilai jualan runcit dan borong turut mencatatkan peningkatakan sebanyak 21.8 peratus pada Jun berbanding bulan sebelumnya.
4) Manakala Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk sektor Pembuatan di Malaysia telah meningkat dari nilai terendah pada tahun 2020 iaitu 50.0 pada bulan Jun dan Julai berbanding 31.3 pada April.
5) Penjualan kereta penumpang Malaysia meningkat 6.1 peratus bagi bulan Jun 2020.
6) Perbelanjaan kad kredit menunjukkan peningkatan mendadak kepada RM10.7 billion pada Jun berbanding RM6.5 billion pada April.
7) Pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat pada kadar 3.7 peratus setahun.
8) Pertumbuhan pinjaman perniagaan sedia ada meningkat dari 3.4 peratus pada suku pertama 2020 kepada 3.9 peratus pada suku kedua 2020.
9) Kadar pengangguran negara bertambah baik pada Jun 2020 sebanyak 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus pada Mei.
10) Pertumbuhan ekonomi negara dijangka berada di paras 5.5 peratus ke 8.0 peratus
#Bank Negara Malaysia #COVID-19 #KDNK #Kementerian Kewangan #pandemik #pemulihan ekonomi #PENJANA #PKP #PKPP #ST2 #suku kedua