Penganalisis mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 5.3% bagi 2013.

Kenyataan ini melihat kepada Barisan Nasional (BN) yang kekal memegang kuasa dengan kesinambungan dasar akan menyokong momentum pertumbuhan.

Menurut kenanga research kesinambungan kepimpinan BN kekal kukuh bagi memastikan projek Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan pembaharuan dasar dilaksanakan tanpa kelewatan atau gangguan.

Kenanga berkata terserah kepada BN untuk membuat perubahan yang perlu dan memastikan projek prasarana utama diagihkan secara adil dan disiapkan dalam tempoh yang disasarkan dengan kos minimum.

BN juga menurutnya perlu memberikan komitmen tambahan untuk menambah baik kecekapan perkhidmatan awam, mengurangkan kadar jenayah dan membaiki sistem pendidikan nasional.

Selain kebimbangan peningkatan subsidi, kenanga berkata janji kerajaan memberi bantuan tunai di bawah skim BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), pengurangan harga kereta dan subsidi pembinaan satu juta rumah mampu milik akan meningkatkan perbelanjaan operasi fiskal.

Perbelanjaan operasi fiskal mencecah rekod tinggi RM 205.5bilion pada 2012, naik 11.5% atau 21.9% daripada KDNK.

Selain itu, sumbangan sektor minyak dan gas dijangka berkurangan kerana harga global dijangka terus turun.

Sementara itu, ketua pakar ekonomi Ram Holdings Group Dr Yeah Kim Leng berkata kemenangan BN itu dianggap sebagai petanda positif bagi dasar dan kesinambungan pertumbuhan.

Bagi terus membiayai projek prasarana utama dan memberikan bantuan, Yeah berkata kerajaan perlu melaksanakan usaha untuk meningkatkan pendapatan dan menumpukan kepada rasionalisasi subsidi kepada kumpulan sasaran.

Tambahnya pendapatan juga boleh dikumpul menerusi penswastaan seterusnya dan penjualan aset.