KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia suku pertama 2023 berkembang sederhana pada kadar 5.6 peratus didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.

Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan, pasaran pekerja yang bertambah baik serta peningkatan guna tenaga yang mantap dan upah yang terus meningkat telah menyokong penggunaan swasta.

Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, risiko terhadap prospek pertumbuhan Malaysia secara relatif adalah seimbang.

"Risiko pertumbuhan menjadi tinggi berpunca terutamanya daripada faktor dalam negeri, termasuk aktiviti pelancongan yang lebih giat daripada jangkaan dan pelaksanaan projek, termasuk yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023.

"Sementara itu, risiko pertumbuhan menjadi perlahan boleh berpunca daripada eksport yang lebih rendah disebabkan oleh pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu," kata beliau dalam sidang media di BNM hari ini.

Sementara itu, aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan kapasiti dan projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan menjadi antara penyumbang kepada pertumbuhan tersebut.

Pelancongan ke dalam negeri yang terus pulih meningkatkan eksport perkhidmatan dan sebahagiannya mengimbangi pertumbuhan eksport barangan yang lebih perlahan.

Ujar beliau, dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 0.9 peratus berbanding negatif 1.7 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Meskipun menghadapi rintangan global, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada tahun 2023.

Perkembangan ini didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.

Guna tenaga dan pendapatan yang bertambah baik serta pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun akan menyokong aktiviti penggunaan dan pelaburan.

Selain itu, aktiviti pelancongan ke dalam negeri yang lebih giat akan menyokong industri perkhidmatan yang berhubung rapat dengan pelanggan.