KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua tahun 2022 berbanding suku pertama 5.0 peratus.

Ini menjadikan pertumbuhan pada separuh pertama tahun ini adalah 6.9 peratus.

“Permintaan dalam negeri terus kukuh, disokong oleh pemulihan keadaan pasaran pekerja yang stabil dan sokongan dasar yang berterusan.

“Pertumbuhan yang lebih tinggi juga mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik dan sempadan antarabangsa dibuka semula.

“Eksport terus disokong oleh permintaan yang kukuh untuk produk elektrik dan elektronik,” menurut kenyataan Bank Negara Malaysia.

Susulan pertumbuhan positif itu, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus mengunjurkan ekonomi Malaysia akan terus berkembang bagi bulan-bulan yang akan datang pada tahun ini.

“Meskipun permintaan luaran mungkin terkesan oleh pertumbuhan global yang lebih perlahan, ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.

“Pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada keadaan pasaran pekerja yang semakin pulih dan ketibaan pelancong yang lebih banyak serta pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun,” katanya.

Bagaimanapun, beliau akui pertumbuhan Malaysia terus terdedah kepada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang lebih meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin buruk.

Pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan peningkatan sebanyak 3.5 peratus berbanding 3.8 peratus pada suku pertama tahun ini.

Pada suku kedua, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing meningkat sebanyak 2.8 peratus  dan 2.5 peratus berbanding suku pertama tahun ini masing-masing 2.2 peratus dan 1.7 peratus.

BNM berkata, inflasi teras yang lebih tinggi mencerminkan keadaan permintaan yang bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi dengan kenaikan harga yang didorong terutamanya oleh makanan di luar rumah dan barangan makanan lain.

KDNK | Tumbuh 8.9 peratus, diunjur terus berkembang tahun ini - Gabenor