KUALA LUMPUR: Nilai ringgit yang melemah berbanding nilai dolar AS (AS$) menyebabkan rakyat Malaysia jatuh miskin, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Penaja Parti Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, nilai ringgit kini lebih rendah berbanding semasa susut nilai akibat Krisis Kewangan 1998.

“Sebelum ini kita memerlukan RM3.80 untuk membeli barangan import bernilai 1AS$, kini kita memerlukan RM4.70.

"Susut nilai membuatkan kita miskin,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menambah, kejatuhan nilai ringgit yang berterusan mampu menjejaskan pelaburan, saham dan projek.

“Susut nilai membawa kepada lambakan saham dan pelaburan oleh pelabur asing, serta berlaku penjualan saham.

“Langkah ini menyebabkan penyusutan nilai yang lebih tinggi dan pembayaran balik pinjaman akan menjadi lebih mahal jika ia diambil dalam dolar AS,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, nilai mata wang tempatan itu tidak akan kembali ke nilai asalnya jika sudah mengalami kejatuhan yang teruk.

Hal ini katanya, akan membawa kepada peningkatan kos sara hidup dalam kalangan masyarakat.

“Penurunan nilai akan membawa kepada kos sara hidup yang lebih tinggi.

“Akhirnya, mata wang tempatan akan ditolak dan AS$ akan digunakan dalam pembayaran bil hotel dan restoran,” ujar beliau.

Agenda AWANI: PRU15 | 'Mission Impossible', Tun M?