KUALA LUMPUR: Pembinaan sistem pengangkutan negara akan terkesan terutamanya dari aspek kenaikan kos sekiranya ringgit terus jatuh berbanding dolar AS dan oleh kerana itu, tambatan ringgit perlu dipertimbangkan, kata pengerusi eksekutif Dras Advans Sdn Bhd Datuk Ridza Abdoh Salleh.

Dras Advans adalah pembekal perkhidmatan pengurusan projek bagi projek infrastruktur dan bangunan.

Ridza, bekas CEO Prasarana Malaysia Bhd, menjelaskan bahawa komponen Projek Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) ketika ini diimport dari luar negara dan kesan daripada kejatuhan ringgit akan mengakibatkan peningkatan risiko menanggung kos yang lebih tinggi kepada kontraktor dan pembekal alat ganti MRT dan LRT.

Bagi menangani isu ini kata beliau, kontraktor dan pembekal akan menaikkan harga bagi menampung risiko tukaran mata wang asing.

“Ini akan mengakibatkan Prasarana terpaksa membayar nilai yang lebih tinggi mahupun kontraktor enggan menyediakan alat ganti bagi projek-projek tersebut sekiranya risiko terlalu tinggi,’’ kata beliau.

Beliau turut berkata ini akan mengakibatkan Prasarana tidak mendapat bekalan alat ganti seterusnya merencatkan kecekapan operasi dan perkhidmatan pengangkutan tersebut.

"Ini akhirnya memberi kesan kepada pengguna," beliau memberitahu DagangNews.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah mempelawa syarikat berpotensi untuk mengambil bahagian dalam permintaan untuk cadangan (RFP) bagi pakej kerja perkhidmatan perundingan pengurusan projek Aliran Mass Rapid Transit 3 (MRT3).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan pembinaan projek Laluan Bulatan MRT3 akan melibatkan lima pakej kerja iaitu perundingan pengurusan projek, tiga kerja sivil dan satu pakej kerja sistem dan RFP terbuka kepada syarikat yang berpengalaman dalam menguruskan sekurang-kurangnya satu projek kereta api dengan nilai agregat minimum RM1 bilion, sama ada di Malaysia atau di luar negara.

Ridza juga turut berharap bahawa isu tambatan ringgit terus dipertimbangkan selaras dengan keperluan negara, di mana kestabilan ringgit amat penting bagi perniagaan dan rakyat secara keseluruhan, terutamanya jika ringgit mencecah tahap RM4.40 berbanding dolar AS.

"Saya bersetuju dengan cadangan tambatan ringgit yang diajukan Tun Mahathir Mohamad, perniagaan dan rakyat Malaysia tidak perlu risau sekiranya tambatan ringgit dilaksanakan dan mereka boleh bekerja keras untuk meningkatkan eksport dan mengurangkan import bagi membantu negara memulihkan semula rizab asing kita yang digunakan untuk menampung tambatan ringgit yang dilaksanakan," ujar beliau.

Beliau turut menegaskan sekiranya ringgit terus diapungkan berbanding dolar AS, kadar pertukaran yang tidak menentu atau kerugian kadar mata wang asing boleh menimbulkan ketakutan dalam merancang, meramal dan melaksanakan strategi perniagaan dan seterusnya menjejaskan produktiviti seluruh negara.

"Mekanisme kadar pertukaran asing perlu difahami dengan baik dan langkah untuk tidak memperkenalkan tambatan ringgit adalah pendekatan yang sangat konservatif dan tidak holistik dalam usaha memulihkan ekonomi negara, khususnya dalam tempoh pasca-pandemik.

Terdahulu bekas timbalan gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Sukudhew (Sukhdave) Singh berkata menambat ringgit kepada dolar AS boleh mendorong negara itu ke dalam krisis kewangan dan beliau memberi amaran bahawa menambat kadar pertukaran bukanlah satu keputusan yang boleh dipandang ringan kerana ia mempunyai kesan yang ketara kepada ekonomi dan pasaran kewangan Malaysia. – DagangNews.com