KUALA LUMPUR: Pertumbuhan pinjaman terus meningkat kepada 5.9% pada Julai 2022 di sebalik dua kali kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) setakat tahun ini.

Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berkata, walaupun berlaku dua kali kenaikan OPR, pinjaman isi rumah terus meningkat secara stabil sebanyak 0.4% bulan ke bulan, sementara portfolio perniagaan pula berkembang 0.3% dari bulan ke bulan, yang menunjukkan sokongan daripada kembalinya aktiviti pembinaan.

Katanya, berdasarkan trajektori semasa, sasaran pertumbuhan industri sebanyak 5 hingga 5.5% boleh menjadi konservatif, dengan paras 5.5 hingga 6% adalah lebih berkemungkinan (mengandaikan pertumbuhan 0.5% bulan ke bulan yang konsisten dicapai dalam baki bulan selanjutnya).

"Sistem pinjaman pada Julai yang berkembang 5.9%, adalah mengatasi jangkaan kami, setelah kami menaikkan sasaran pertumbuhan antara 5.5 hingga 6%.

"Pinjaman isi rumah yang terus meningkat bagaimanapun akan mula berkurangan apabila kadar faedah lebih tinggi dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya dalam nota kajian pada Khamis.

Data yang dikeluarkan BNM pada Selasa menunjukkan pembiayaan bersih meningkat 5.3% berbanding 5% pada Jun didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman terkumpul (5.9%; Jun: 5.6%) dan bon korporat (3.7%; Jun: 3.4%).

Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul adalah pada 6.1% apabila pertumbuhan pengeluaran pinjaman mengatasi pertumbuhan bayaran balik pinjaman. Tujuan aliran kredit kepada isi rumah sebahagian besarnya adalah untuk pembelian rumah dan kereta.

Bagi sektor perniagaan, pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 5.8%, didorong terutamanya oleh pemberian pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mengikut tujuan, pinjaman modal kerja terus merupakan pendorong utama meskipun pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman. Ini berkemungkinan mencerminkan bantuan bayaran balik pinjaman yang terus berkurang.

Menurut Chua, jumlah permohonan pada Julai meningkat secara menyeluruh didorong lebih banyak pinjaman perniagaan manakala isi rumah mulai perlahan, mungkin disebabkan mereka membuat pertimbangan semula tengah-tengah kadar faedah lebih tinggi. 

Beliau bagaimanapun menjangkakan dua lagi kenaikan tambahan sebanyak 25 mata asas dalam OPR pada  mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM untuk tahun ini.

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB Research, Winson Ng berkata, pinjaman berkembang 3% dalam tempoh 7 bulan setakat ini, mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan pada 5.2% bagi 2022.

"Kami melihat ini adalah sejajar dengan unjuran pertumbuhan pinjaman kami antara 5 hingga 6% pada tahun ini," katanya.

Menurutnya, momentum dalam petunjuk pinjaman utama adalah kukuh, dengan pertumbuhan hampir 80% tahun ke tahun pada Julai 2022 untuk kedua-dua permohonan dan kelulusan.

Katanya, pemangkin utama adalah pertumbuhan tiga digit tahun ke tahun bagi permohonan dan kelulusan pinjaman pembelian kenderaan.

"Sementara itu, permohonan dan kelulusan pinjaman hartanah juga berkembang dalam kadar dua digit tahun ke tahun pada bulan tersebut.

"Permohonan dan kelulusan yang teguh pada Julai 2022 akan membantu menyokong pertumbuhan pinjaman industri, yang kami jangkakan sekitar 6% dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang," jelasnya.

Sehubungan itu, kedua-dua firma penyelidikan, Kenanga Research dan CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan bagi tahun ini. - DagangNews.com