KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) terus memantau dengan rapi dan memastikan pasaran kewangan terus teratur dalam keadaan perkembangan luaran yang telah menyebabkan dolar AS terus kukuh berbanding dengan hampir semua mata wang, termasuk ringgit.

Bagaimanapun, bank pusat itu berkata bahawa pergerakan ringgit akan terus ditentukan pasaran.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa pasaran pertukaran asing terus berfungsi dan mengantara dengan berkesan.

“Malaysia kekal sebagai ekonomi terbuka. Keutamaan dasar pada masa ini adalah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil serta mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi dalam negeri melalui pembaharuan struktur dan bukannya dengan melaksanakan kawalan modal atau menambat semula ringgit.

"Hal ini akan memberikan sokongan yang lebih berterusan untuk ringgit,” katanya.

Beliau berkata, jumlah urus niaga pertukaran asing harian tempatan terus meningkat hingga mencapai purata semasa sebanyak AS$13.3 bilion berbanding dengan AS$11.3 bilion pada 2021 berikutan aliran pertukaran dua hala.

Beliau menjelaskan, nilai dolar AS telah menjadi kukuh dengan ketara disebabkan oleh dasar monetari di AS yang diperketat secara agresif.

Katanya, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan ketidaktentuan yang lebih ketara dalam pasaran pertukaran asing dijangka tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Rabu berkata kerajaan melalui BNM tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar AS pada masa ini kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian yang besar.

Beliau berkata, seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi 'rujukan' atau asas bagi tambatan ringgit.