KUALA LUMPUR: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat sebagai persediaan awal dalam mendepani kadar inflasi global.

Menurut Profesor Ekonomi, UKM Graduates School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali, kenaikan OPR tidak bermaksud mengurangkan permintaan, sebaliknya menyokong pengukuhan ekonomi.

"BNM menyebut secara khusus polisi kewangan kekal akumulatif, maksudnya kekal menyokong pengukuhan ekonomi.

"Tidak semestinya kenaikan OPR itu diterjemahkan secara langsung mengatakan kita nak perlahan dan mengurangkan permintaan dan sebagainya, saya tidak nampak tafsirannya sebegitu," jelasnya.

Tambah Noor Azlan, tindakan yang sama diambil negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom meskipun kadar inflasi di negara itu jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.

"Di Malaysia kita agak kritikal juga, ekonomi kita nak membangun nak memulih, masih dalam peringkat pemulihan, secara umumnya pendapatan rakyat terjejas tapi pada masa sama kita saksikan perkara ini berlaku di luar negara.

"Jadi sejauh mana kita dapat bertahan kalau kita membiarkan jurang kadar polisi di Malaysia dan luar negara itu luas umpamanya.

"Jadi ia patut diberi pertimbangan, kalau tengok secara lazim memang nampak pelik sedikit kenapa kita perlu naikkan kadar OPR dalam keadaan ekonomi pulih dan kos sara hidup meningkat," jelasnya lagi.

Ujarnya, analisis dan pertimbangan telah dibuat oleh Jawatankuasa Polisi BNM dalam memastikan ia tidak membebankan rakyat.

Mengulas mengenai kadar inflasi negara, secara umum kata Noor Azlan, Malaysia masih mencatatkan kadar lebih rendah pada tahap 2.8 peratus.

"Kadar inflasi negara secara umum masih lagi rendah 2.8 peratus, tetapi jika kita lihat kompenen inflasi makanan di hotel dan restoran, berada dalam trend meningkat.

"Jadi mungkin ini adalah persediaan awal, supaya kita mempunyai ruang yang cukup. Kadar OPR kita sebelum ini 1.75, umumnya sangat rendah dalam polisi kewangan," katanya lagi.

Didorong dengan gangguan bekalan makanan global serta cuaca buruk, jelas Noor Azlan lagi, inflasi dijangka akan terus meningkat dan memerlukan penampan menerusi OPR.

"Permintaan domestik tidak begitu rancak sehingga menyebabkan kadar inflasi melambung, jadi kita harus berhati hati penterjemahan ini.

"Bagi saya peningkatakan kadar OPR bukan berhasrat menekan dan mengurangkan permintaan, itu bukan matlamatnya dan kadar inflkasi hari ini kita tengok peningkatan kadar kos sara hidup kali ia adalah kejutan dan bukan inflasi keseluruhan.

"Inflasi keseluruhan 2.4 peratus tetapi jika kita lihat gangguan bekalan dan cuaca yang buruk. Umumnya masih lagi rendah, jadi di sini kita kena pastikan apa sebenarnya matlamat OPR dinaikkan," tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam temubual Agenda AWANI pada Jumaat.