KUALA LUMPUR: Kenanga Research menyemak turun penarafan sektor penerbangan kepada 'neutral' daripada 'overweight' sebelum ini berikutan cadangan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk mengekalkan kadar tarif lapangan terbang seperti pada 2021.

Dalam Kertas Rundingan Pertama berkenaan Rangka Kerja Jangka Panjang Untuk Penyeliaan Caj Perkhidmatan Penerbangan yang dikeluarkan 10 Ogos lalu, ia mahu mengekalkan status quo kadar tarif, kekal pada terma sebenar dengan menaikkan caj setiap tahun menggunakan CPI.

Ia mencadangkan untuk digunakan semasa Tempoh Kawal Selia 1 (RP1) (2023-2025), yang nampaknya kurang menggalakkan berbanding cadangan pada 2019 berdasarkan kos purata wajaran modal (WACC) sebanyak 10.88%.

Sehubungan itu, Kenanga Research bimbang kerana ini boleh bertentangan dengan keupayaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menjana aliran tunai yang mencukupi untuk tujuan perbelanjaan modal, terutamanya untuk pengembangan dan penyelenggaraan lapangan terbang.

Bagaimanapun, katanya, ia hanyalah satu rangka kerja perundingan pertama dan tidak begitu penting kerana suruhanjaya juga sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan.

"Mavcom juga mencadangkan mekanisme untuk MAHB untuk mendapatkan balik kerugian yang ditanggung semasa RP1 dalam RP2, tetapi kami turut berhati-hati mengenai aliran tunai MAHB ketika RP1.

"Walaupun cadangan dalam kertas perundingan Mavcom ini tidak begitu penting, ia meningkatkan risiko pendapatan MAHB dengan ketara dalam jangka pendek hingga sederhana, justeru, mendorong kami menurunkan penarafan kami pada MAHB dan sektor penerbangan," katanya dalam nota kajian hari ini.

Firma itu menurunkan penarafan MAHB kepada 'market perform' daripada 'outperform' dengan harga sasaran juga dikurangkan kepada RM6.05 daripada RM7.65 sebelum ini.

Ia turut menyemak turun unjuran untung bersih MAHB bagi tahun kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) sebanyak 10% kerana jumlah penumpang diunjur lebih rendah keapda 100 juta daripada 108 juta.

Namun, Kenanga Research percaya, kerangka kerja itu bagi memastikan pengendali lapangan terbang tidak mengambil kesempatan daripada kedudukan pasaran dominannya untuk sama ada menawarkan kualiti perkhidmatan yang tidak berkualiti atau mengenakan tarif yang terlalu tinggi.

"Pada pandangan kami, Mavcom perlu menetapkan kadar tarif yang munasabah memandangkan terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan perluasan lapangan terbang dan perbelanjaan penyelenggaraan di Malaysia untuk membolehkan MAHB mengumpul tunai yang diperlukan untuk tujuan perbelanjaan modal (capex)," jelasnya.

Setakat 10.13 pagi, harga saham MAHB menokok 1 sen atau 0.16% kepada RM6.26 dengan 92,800 saham diniagakan. - DagangNews.com