Kerajaan bakal bincang cara meningkatkan harga getah

Astro Awani
Ogos 3, 2013 23:58 MYT
Kerajaan akan berbincang dengan Indonesia dan Thailand bagi mencari mekanisme terbaik untuk menaikkan harga getah di pasaran yang secara tidak langsung memberikan manfaat kepada pekebun kecil komoditi itu.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, kerajaan amat perihatin terhadap nasib pekebun kecil getah selepas harganya kini sedikit rendah namun pada masa yang sama berpendapat harga berkenaan masih tinggi berbanding beberapa tahun yang lalu.
Katanya di Kelantan kira-kira 50,000 pekebun kecil getah menerima bantuan RM500 setiap seorang dari kerajaan.
Katanya sebanyak RM14 juta telah diagihkan daripada jumlah keseluruhannya berjumlah RM23 juta.
“Kerajaan melalui perjanjian yang telah dipersetujui antara Malaysia, Thailand dan Indonesia Insyaallah akan mengadakan perbincangan dengan pengeluar getah di rantau ini untuk menstabilkan harga getah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian dividen Risda dan pelancaran penggunaan bahan rangsangan untuk getah peringkat negeri Kelantan 2013 di sini.
Katanya seramai 2,318 penerima dividen itu yang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM9.3 juta.
Mustapa berkata jika rundingan dengan negara jiran itu berhasil sekali pun, kerajaan tidak memberi jaminan kenaikan harga getah itu akan terus bertahan kerana ianya bergantung kepada permintaan.
Katanya apa yang berlaku permintaan terhadap komoditi itu daripada pembeli utama seperti China, Eropah dan Amerika Syarikat kini sangat kurang yang telah menyebabkan harga getah kini terjejas.
Sementara itu Mustapa berkata dakwaan pembangkang kononnya harga yang rendah disebabkan kelemahan kerajaan adalah tidak benar sama sekali dan jika pembangkang yang memerintah negara ini, mereka sendiri tidak akan mampu mengawal harganya.
Sambil meminta rakyat tidak mempercayai tuduhan yang dilemparkan pembangkang Mustapha menjelaskan kerajaan sama sekali tidak mempunyai peranan untuk menaik atau menurun harga kerana ia bergantung kepada permintaan.
Pada majlis itu juga Risda turut memberikan sumbangan sosialnya kepada 115 pertubuhan bukan kerajaan di seluruh Kelantan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM230,000.
#harga getah #Kelantan #Mustapa Mohamed