KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan komited untuk memantapkan proses penyediaan Belanjawan 2023 melalui penglibatan dan sumbangan ahli Keluarga Malaysia bagi memastikan bajet yang dibentangkan di Parlimen merupakan penjelmaan denyut nadi rakyat untuk manfaat semua rakyat.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Kementerian Kewangan (MOF) telah memulakan program jelajah negeri Belanjawan 2023 di Johor dalam usaha mendapatkan pandangan dan cadangan di peringkat akar umbi terutamanya daripada rakyat, industri setempat termasuk kerajaan negeri.

Katanya Johor merupakan negeri pertama dikunjungi MOF dalam program jelajah tersebut.

"Semasa pertemuan dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Kerajaan Persekutuan menzahirkan komitmen untuk memacu pembangunan di negeri Johor dan meningkatkan usaha menarik pelaburan ke negeri Johor dalam sektor utamanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara tumpuan Kerajaan Persekutuan di Johor ialah mempertingkatkan infrastruktur pengangkutan melalui projek seperti landasan keretapi Gemas - Johor Bahru yang bakal siap serta projek baharu seperti Sistem Transit Rapid (RTS) ke Singapura.

Katanya kerajaan juga akan terus memajukan mekanisme untuk memperbanyakkan penyediaan perumahan yang berkualiti dan mampu didiami rakyat biasa seperti Rumah Iskandar Malaysia yang dimajukan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar.

"Lawatan ke Folo Farms di Ulu Tiram yang merupakan inisiatif komuniti setempat menghasilkan sayur organik, iaitu baja kompos dihasilkan daripada sisa makanan dari hotel dan restoran di bandar Johor Bahru, menunjukkan Malaysia juga mempunyai potensi tinggi untuk meningkatkan penghasilan makanan di kawasan bandar yang menerapkan prinsip kelestarian," katanya.

Tengku Zafrul berkata Kementerian Kewangan akan menyusuli jelajah ke semua negeri untuk memahami cabaran yang dihadapi dan mengumpulkan cadangan dari segenap lapisan masyarakat mengenai langkah untuk Belanjawan 2023.

-- BERNAMA