PUTRAJAYA:Kerajaan meluluskan 6,613 permohonan melibatkan nilai pinjaman sebanyak RM1.245 bilion setakat 5 Februari 2021 di bawah Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 bilion di bawah program itu mengutamakan PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.

“Bagi pembiayaan dalam sektor pelancongan, peruntukan kerajaan sebanyak RM1 bilion bagi PKS dan PKS mikro yang masih terkesan dengan COVID-19.

“Setakat 5 Februari, terdapat 579 permohonan bagi pembiayaan ini, dan daripada jumlah ini sebanyak 282 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM57.1 juta,” katanya dalam kenyataan media Laporan LAKSANA ke-41 pada Khamis.

Bagi Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 pula, Tengku Zafrul berkata sehingga 30 September 2020 iaitu tarikh tutup PSU 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat PSU di bawah PRIHATIN dan PENJANA.

“Setakat 5 Februari, permohonan subsidi upah yang diluluskan mencapai nilai RM12.763 bilion.

“Program Subsidi Upah (PSU 2.0), setakat 5 Februari, sejumlah RM770.31 juta telah disalurkan kepada 65,398 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 534,183 pekerja,” ujarnya.

Tambahnya, Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan juga semakin menunjukkan hasil memberangsangkan.

“Setakat 5 Februari, seramai 130,871 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini.

“Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit,” katanya.