Kerajaan perlu memperhalusi keputusan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebelum menandatangani perjanjian berkenaan, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata apa yang penting adalah mendahulukan kepentingan rakyat dan pihaknya menyokong apa sahaja keputusan kerajaan sekiranya ia memberi manfaat yang baik kepada semua rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Kita yakin banyak perkara yang telah dibincangkan secara mendalam mengenai rundingan itu.

"Kita percaya kerajaan telah mengesan mana perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada negara," katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberi bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Simunul, di sini, hari ini.

Beliau juga berharap kerajaan akan memberi penjelasan secara terperinci mengenai TPPA agar rakyat dapat memahami tentang perjanjian itu.

Rundingan TPPA disertai 12 negara, iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam,

Sementara itu, mengenai pembentangan Bajet 2016, Mohd Shafie berkata beliau berharap ia akan turut memberi penekanan kepada pembangunan di kawasan luar bandar.

"Kita berharap Bajet 2016 juga memfokuskan kepada masyarakat di kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak," katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna telah menyampaikan bantuan berupa wang tunai, pakaian dan makanan harian kepada 204 keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran pada Sabtu lepas.

"Kita berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan beban setiap keluarga yang terbabit dalam musibah itu dan kita akan berusaha untuk memastikan mangsa dapat dibantu sebaik mungkin," katanya.