KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga tahun 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendengar keresahan disuarakan golongan yang terkesan.

"Cadangan ini melibatkan kehilangan hasil Kerajaan sekitar 250 juta ringgit setahun dan memanfaatkan lebih 400,000 pembayar cukai.

"Jumlah ini bukan jumlah golongan B40 … ini mereka yang pendapatan lebih sederhana tapi maksudnya untuk pendidikan, itu pertama.

“Kedua, belanja pendidikan kian meningkat, sebab itu kita beri kelonggaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara pada Rabu.

Astro AWANI pada Isnin melaporkan, melaporkan bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000, ujar Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong.

Memetik laporan Nanyang Siang Pau, Steven Sim mengesahkan, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.

Berdasarkan portal rasmi SSPN, insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas Simpanan SSPN bagi tahun 2023 tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023, 24 Februari lalu.