Kerugian bersih Genting Bhd mengecil kepada RM563.53 juta pada suku kedua

Bernama
Ogos 27, 2021 22:00 MYT
Untuk separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021, kerugian bersih Genting berkurang kepada RM895.29 juta. - Foto fail/Facebook/ResortsWorldGenting
KUALA LUMPUR: Kerugian bersih Genting Bhd mengecil kepada RM563.53 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berbanding kerugian bersih sebanyak RM786.05 million yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.
Genting dalam makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu kerugian bersih yang lebih rendah pada suku kedua tahun kewangan 2021 adalah disebabkan oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih tinggi sebanyak RM958.9 juta, berbanding kerugian EBITDA yang disesuaikan sebanyak RM578.7 juta.
Pendapatan pada suku yang ditinjau meningkat lebih dua kali ganda kepada RM2.94 bilion daripada RM1.11 bilion sebelumnya, disumbangkan oleh segmen riadah dan perhotelan.
Bahagian perladangannya merekodkan kenaikan pendapatan pada suku kedua berikutan harga produk sawit dan pengeluaran tandan buah segar (TBS) yang lebih tinggi, didorong oleh pertumbuhan di Indonesia susulan peningkatan kawasan penuaian termasuk hasil.
"Pendapatan dan EBITDA dari bahagian tenaga bertambah disebabkan oleh penjanaan bersih yang lebih baik daripada loji Banten Indonesia, manakala, bahagian minyak dan gas mencatat lonjakan pendapatan dan EBITDA berikutan harga minyak yang lebih baik pada suku kedua," katanya lagi.
Untuk separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021, kerugian bersih Genting berkurang kepada RM895.29 juta berbanding RM918.37 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2020, walaupun merekodkan hasil yang rendah sebanyak RM5.19 bilion daripada RM5.22 bilion sebelumnya.
"Penurunan (pendapatan untuk separuh pertama tahun kewangan 2021) berpunca daripada segmen rekreasi dan perhotelan, yang sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan dalam prestasi di segmen perladangan.
"Bagaimanapun, EBITDA kumpulan, menokok lebih dari dua kali ganda menjadi RM1.5 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2021 daripada RM630.0 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2020, disebabkan oleh peningkatan prestasi daripada perniagaan riadah dan perhotelan di Singapura, Amerika Syarikat dan Bahamas," katanya.
Kumpulan itu ketika mengulas mengenai prospek menjelaskan cabaran pertumbuhan global mungkin akan berterusan memandangkan ancaman wabak COVID-19 masih ada, selain daripada potensi risiko ke atas turun naik pasaran kewangan.
"Di Malaysia, pemulihan ekonomi mungkin agak lewat susulan pengenaan kembali langkah-langkah sekatan di seluruh negara sebelum ini termasuk kesan peningkatan kes COVID-19. Pasaran permainan serantau turut diramalkan mencabar dalam jangka pendek akibat COVID-19, yang juga akan memberi kesan ketidakpastian terhadap prospek sektor pelancongan, rekreasi, dan perhotelan," katanya.
-- BERNAMA
#Genting Bhd #Bursa Malaysia #ekonomi #sektor pelancongan