KUALA LUMPUR: Genting Malaysia Bhd mencatatkan kerugian bersih lebih rendah kepada RM946.83 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021 daripada RM2.26 bilion pada tahun kewangan 2020.

Perolehan hasil berkurangan kepada RM4.16 bilion daripada RM4.53 bilion pada tahun sebelumnya akibat penurunan hasil perniagaan rekreasi dan hospitaliti di Malaysia sebanyak 52 peratus atau RM1,616.8 juta.

Ini terutamanya disebabkan oleh penyusutan menyeluruh volum perniagaan daripada segmen perjudian dan bukan perjudian berikutan pelaksanaan semula pelbagai sekatan COVID-19 oleh kerajaan pada tahun tersebut, kata syarikat itu dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia.

Tempoh suku keempat berakhir 31 Dis, 2021, juga menyaksikan syarikat itu kembali meraih untung dengan keuntungan bersih sebanyak of RM174.12 juta berbanding kerugian bersih RM240.85 juta manakala hasilnya menokok 81 peratus kepada RM1.89 bilion berbanding RM1.04 bilion, sebelum ini.

Hasil lebih tinggi itu disumbangkan oleh perniagaan rekreasi dan hospitaliti di Malaysia sebanyak RM317.2 juta atau 49 peratus, terutamanya daripada peningkatan volum perniagaan segmen perjudian dan perjudian selepas Resorts World Genting menyambung semula operasi pada 30 Sept, 2021 dan disusuli dengan penamatan sekatan rentas negeri sejak 11 Okt, 2021.

Dalam pada itu, Lembaga Pengarah telah mengumumkan dividen khas satu peringkat sebanyak sembilan sen sesaham biasa yang akan dibayar pada 31 Mac 2022.

"Walaupun prospek pelancongan antarabangsa semakin pulih, ketidaktentuan membabitkan perkembangan COVID-19 akan terus memberi cabaran terhadap perjalanan global.

"Namun, kadar vaksinasi yang lebih tinggi di peringkat global dan pengenalan pasport vaksin di negara tertentu akan menyokong pemulihan industri pelancongan, rekreasi dan hospitaliti, termasuk sektor perjudian serantau," katanya.

Dalam persekitaran itu, syarikat tersebut kekal optimis terhadap prospek jangka panjang terhadap industri rekreasi dan hospitaliti namun kekal berhati-hati terhadap peningkatan penularan varian COVID-19.

-- BERNAMA