KUALA LUMPUR: CTOS Data Systems Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh CTOS Digital Bhd telah menerima arahan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai penggantungan sementara akses terhadap Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) bagi semua agensi pelaporan kredit, termasuk CTOS, berkuat kuasa hari ini.

Katanya, penangguhan sementara itu adalah “langkah perlu, proaktif dan pencegahan kepada potensi ancaman siber dan kemungkinan berlakunya insiden kebocoran data dalam industri pelaporan kredit.”

“Berdasarkan keputusan penangguhan daripada BNM, kami akan menghentikan sementara laporan dan perkhidmatan yang mengandungi maklumat di platform kami,” menurut CTOS dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat itu menyatakan, menjaga keselamatan data pelanggan sentiasa menjadi keutamaannya dan CTOS komited untuk mematuhi syarat itu agar penangguhan berkenaan akan ditarik balik.

"Kami bekerja dengan pantas untuk menyambung semula perkhidmatan ini secepat mungkin," katanya sambil memaklumkan portfolio perkhidmatan yang lain masih tersedia untuk pelanggan.

CTOS berkata penangguhan sementara itu dijangka tidak memberi sebarang impak material kepada kewangannya pada masa ini.

-- BERNAMA