KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM1.6 bilion disumbangkan aktiviti pengewangan dan kemerosotan nilai yang lebih rendah dalam portfolio.

Ini membolehkan Khazanah mengisytiharkan dividen RM500 juta pada 2022 kepada kerajaan, berbanding RM2 bilion tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, hutang sedikit meningkat kepada RM49.1 bilion berbanding RM48.5 bilion tahun sebelumnya.

Katanya, Nilai Aset Boleh Direalisasi (RAV) berbanding nisbah hutang pada paras 2.7x dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jangka panjang 3.0x - 4.0x.

“Nilai Aset Bersih (NAV) menyaksikan penurunan sebanyak lima peratus daripada RM86 bilion pada 2021 kepada RM81 bilion pada 2022 disebabkan oleh aliran menurun pasaran global.

“Khazanah memberi tumpuan kepada pembinaan pulangan kewangan jangka panjang dan meneruskan pengimbangan semula portfolio ke arah sasaran Peruntukan Aset Strategik dengan pelaburan ke dalam Ekuiti Awam, Ekuiti Swasta dan Aset Nyata,” katanya dalam sidang media Khazanah Annual Review (KAR) di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata RM6.6 bilion telah disalurkan untuk pelaburan baharu dan RM2.5 bilion diperoleh daripada pengewangan aset.

Sementara Kadar Pulangan Berwajaran Masa (“TWRR”) NAV bagi Portfolio Pelaburan mencatatkan 2.2 peratus untuk kitaran TWRR 4 tahun.

Bercakap berkenaan unjuran tahun ini, Amirul Feisal berkata ia dijangka terus mencabar menjelang pertumbuhan global yang perlahan berikutan peralihan dasar monetari bagi menangani inflasi dan ketegangan geopolitik yang berterusan.

Jelasnya, Khazanah akan terus berwaspada dalam aktiviti pelaburannya dengan matlamat untuk mengekalkan daya tahan portfolio melalui kepelbagaian.

"Di sebalik ketidaktentuan, Khazanah kekal optimistik dalam mengenal pasti peluang pelaburan dalam arah aliran global memuncul, perubahan struktur terhadap sistem global multipolar dan cabaran perubahan iklim yang meningkat, peralihan tenaga dan kemampanan.

"Khazanah kekal komited dalam peranannya sebagai pengurus aktif dan pemegang saham syarikat portfolio di Malaysia bagi menjana prestasi, penciptaan nilai dan nilai pemegang saham jangka panjang.

"Khazanah juga akan meneruskan usaha untuk membangunkan bidang pertumbuhan baharu dan ekosistem melalui Dana Impak," katanya.