BATU CAVES: Kerajaan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan bertumbuh pada 5.8 peratus pada tahun 2022.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata unjuran menerusi Bank Negara itu diyakini mampu dicapai susulan pencapaian dan prestasi pada tahun lepas.

Tambahnya, meskipun terpaksa berhadapan situasi mencabar pada tahun lepas namun negara berjaya mencatat prestasi perdagangan dan pelaburan luar Malaysia yang amat memberangsangkan.

"Sekiranya momentum ini dapat dikekalkan, peratusan yang telah disasarkan itu pasti akan dapat dicapai. Di samping itu, untuk mencapai sasaran tersebut, Malaysia harus menjadi sebuah negara yang kompetetif.

"Tidak hanya itu, kita juga harus beralih kepada teknologi baharu seperti memberi tumpuan kepada teknologi hijau dan ekonomi digital yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan berteknologi tinggi yang mampu menarik minat pelaburan-pelaburan berkualiti di dalam negara.

"Saya juga yakin kita mampu melakukan demikian kerana jika melihat dengan pelabur-pelabur yang masuk ke Malaysia pada tahun lepas, di mana hampir kesemuanya adalah pelaburan yang berteknologi tinggi dan berkualiti,"  katanya pada Majlis Setulus Kasih Anjuran PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Samudra bagi merasmikan projek-projek pembangunan infrastruktur yang berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh dua tahun lepas. 

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Gombak itu turut berkata unjuran tersebut tertakluk kepada komitmen dan usaha yang sedang dilakukan kerajaan ketika ini.