KUALA LUMPUR: Unit milik penuh Konsortium Transnasional Bhd (KTB) Transnational Builder Sdn Bhd memperoleh kontrak RM153.09 juta bagi menyediakan buruh dan bahan untuk kerja tanah, cerucuk, bangunan, dalaman dan kerja infrastruktur utama projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Pahang.

Penyedia perkhidmatan pengangkutan bas itu berkata unit pembinaannya semalam menerima surat lantikan daripada Aman Wijaya Sdn Bhd untuk menjalankan projek di atas 40.5 hektar tanah di Kuantan yang terdiri daripada 340 rumah berkembar satu tingkat, lapan rumah banglo satu tingkat, 652 rumah teres satu tingkat dan 19 pejabat kedai dua tingkat.

Kerja-kerja berkaitan dijangka bermula dari Julai 2023 dan siap menjelang Jun 2026, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan KTB bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 dan seterusnya, katanya.

-- BERNAMA