Projek Koridor Utara Malaysia memasuki fasa pembangunan kedua dengan penyertaan pelaburan sektor swasta berjumlah RM7.8 bilion bagi setengah tahun pertama 2015.

Tarikan utama bagi pelabur di Koridor Utara turut dipacu oleh sektor pengeluaran yang disokong perkembangan struktur, kemudahan dan perkhidmatan serantau.

Selari dengan sasaran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk meluaskan penglibatan sektor swasta, empat projek berteknologi tinggi diperkenalkan iaitu satu bagi setiap negeri di Koridor Utara.

"Kami amat gembira dengan hasil signifikan Koridor Utara dan momentum pertumbuhan yang berterusan.

"Acara hari ini membuktikan bahawa tidak mustahil untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui inisiatif terknologi tinggi," ujar Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq yang berharap rentak itu akan berkesinambungan.

Beliau ditemui selepas berakhirnya Mesyuarat Majlis NCIA Ke-14 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Perjanjian bersama itu melibatkan empat syarikat - Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd, BHIC Marine Technology Academy Sdn Bhd, Gading Kencana Sdn Bhd dan QDOS Holdings Berhad.

"Kami mengharapkan lebih banyak penyertaan sektor swasta untuk merancakkan ekosistem seiring pertumbuhan bakat yang relevan dengan industri.

"Ini sejajar dengan visi kami untuk mencapai impak pertumbuhan ekonomi sambil mencipta manfaat untuk rakyat," ujar Redza.

Sehingga kini, NCIA telah mencapai lebih separuh daripada sasaran 30 peratus bagi penyertaan sektor swasta tempatan, enam inisiatif berimpak tinggi melalui initiatif pembangunan industri, tiga inisiatif pembangunan IKS/keusahawanan dan sokongan serta tujuh Program Outreach Masyarakat.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Prof Dr Ramasamy.